PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mencapai persetujuan untuk berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara baik berkuat kuasa 30 Jun 2026.
Keputusan itu dibuat hasil perbincangan bersama dengan BAM dan pemain berusia 26 tahun itu, dengan kedua-dua pihak bersetuju bahawa ia merupakan langkah terbaik bagi fasa seterusnya dalam karier profesionalnya.
Tze Yong pernah mencapai ranking No.14 dunia pada November 2023 serta mencatat beberapa pencapaian bersama skuad kebangsaan termasuk pingat perak perseorangan lelaki dan emas berpasukan campuran Sukan Komanwel 2022, emas Kejohanan Berpasukan Asia 2022 serta gangsa Piala Sudirman 2021 dan 2023.
Bagaimanapun, perkembangan kariernya terjejas akibat kecederaan berpanjangan termasuk kecederaan belakang pada 2024 serta kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada 2025 yang memerlukan pembedahan dan tempoh pemulihan panjang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz merakamkan penghargaan terhadap sumbangan Tze Yong sepanjang bersama badan induk itu.
“Tze Yong merupakan pemain penting skuad kebangsaan dan telah mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa. Walaupun kecederaan menjejaskan perkembangannya, ketabahan beliau sepanjang proses pemulihan amat dihargai.
“Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju ini adalah langkah terbaik pada fasa ini. Kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau dan mendoakan kejayaan serta kesihatan yang baik pada masa depan,” katanya.
Tze Yong turut menzahirkan penghargaan kepada BAM, barisan kejurulatihan, staf sokongan dan rakan sepasukan yang banyak membantu sepanjang perjalanan kariernya bersama skuad kebangsaan.
“Saya berterima kasih kepada BAM atas peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan sepanjang tahun. Mewakili Malaysia adalah satu penghormatan besar dan saya amat menghargai semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya.
“Buat masa ini, saya memberi fokus kepada proses pemulihan sepenuhnya sebelum kembali ke gelanggang dan menantikan fasa baharu dalam karier saya,” katanya.






