PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong mengakui lega apabila dapat beraksi dalam Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 di Ningbo, China.
BAC 2025 adalah pentas kompetitif pertama buat Tze Yong selepas berehat panjang hampir setahun akibat kecederaan.
Pun begitu, perjalanan pemain dari Johor itu terhenti di pusingan pertama apabila tewas kepada wakil Thailand, Kunlavut Vitidsarn straight set 9-21,12-21 dalam masa 44 minit.
“Biarpun prestasi di sini hanya 70 peratus kerana belum pulih sepenuhnya, saya tekad untuk lebih konsisten selepas ini.
“Set pertama terdapat sedikit kebimbangan mengenai kecederaan, namun set kedua semua kebimbangan hilang membolehkan saya meneruskan permainan,” katanya.
Tze Yong kali terakhir beraksi di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari tahun lalu sebelum berehat panjang selepas mengalami kecederaan belakang sejak Terbuka Malaysia awal tahun lalu.
Difahamkan beliau kini memegang ranking perlindungan di kedudukan ke-18 dunia yang akan berakhir penghujung April, menjadikan penyertaan kejohanan di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China itu penting untuk mengekalkan kedudukannya.