Tze Yong rehat dua minggu

Tze Yong rehat dua minggu


PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, terpaksa berehat lebih lama daripada gelanggang selepas disahkan mengalami kecederaan pada lutut kanannya.

Perkara tersebut disahkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada Khamis, memaklumkan bahawa Tze Yong perlu menjalani tempoh rehat sekurang-kurangnya dua minggu sebelum kembali menjalani latihan dan menyertai kejohanan.

Bagaimanapun, kepulangan pemain kelahiran Johor itu ke gelanggang juga akan bergantung kepada tahap kecergasan fizikal serta kadar pemulihannya.

“Tze Yong terpaksa menarik diri pada pertengahan perlawanan akibat ketidakselesaan pada bahagian lutut.

“Hasil pemeriksaan perubatan mengesahkan beliau mengalami ketegangan pada lutut dan dinasihatkan berehat sekurang-kurangnya dua minggu, tertakluk kepada penilaian lanjut,” menurut kenyataan BAM.

BAM turut berharap agar pemain berusia 25 tahun itu segera pulih dan kembali cergas untuk bersaing di peringkat tertinggi.

Tze Yong mengalami kecederaan tersebut ketika aksi pusingan pertama menentang pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long, pada Kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada Rabu.



Source link

OR

Scroll to Top