Udinese sekat hasrat Napoli

Udinese sekat hasrat Napoli


Udine: Napoli terlepas peluang untuk merampas kedudukan teratas Serie A selepas tewas 0-1 kepada Udinese dalam aksi yang wajar dimenangi tuan rumah di Stadium Friuli, awal pagi tadi.

Kekalahan itu hadir selepas AC Milan terlebih dahulu seri 2-2 dengan Sassuolo, sekali gus membuka laluan buat Napoli ke puncak liga, namun skuad pelawat bergelut mengekang tekanan agresif Udinese yang turut menyaksikan dua jaringan mereka dibatalkan.

Napoli kekal di tangga kedua dengan 31 mata, satu mata di belakang Milan dan satu mata mengatasi Inter Milan di tempat ketiga, manakala Udinese menghuni kedudukan ke-10 dengan 21 mata.

Selepas babak pertama yang hambar, Udinese meningkatkan intensiti permainan pada separuh masa kedua dan hampir mendahului apabila Keinan Davis menyambar bola muntah, namun Video Bantuan Pengadil (VAR) membatalkan jaringan itu kerana ofsaid.

Tekanan berterusan tuan rumah hampir membuahkan hasil pada minit ke-69 apabila Nicolo Zaniolo melepasi pertahanan Napoli sebelum meledak gol, namun pengadil membatalkannya susulan kekasaran dalam gerakan awal, sekali gus mencetuskan kemarahan penyokong tuan rumah.

Empat minit kemudian, Jurgen Ekkelenkamp akhirnya memecah kebuntuan menerusi jaringan berkualiti tinggi apabila merembat lencong cantik ke penjuru atas gawang selepas menewaskan kawalan pertahanan Napoli.

Napoli cuba bangkit di penghujung perlawanan.

Rasmus Hojlund berpeluang menyamakan kedudukan tetapi tergelincir ketika percubaannya melambung melepasi palang.

Dalam masa kecederaan, Lorenzo Lucca hampir menghadiahkan gol penyamaan, namun percubaannya sekadar mengenai pangkal tiang sebelum bola keluar.

Kekalahan itu menyaksikan Napoli gagal memanfaatkan peluang keemasan untuk mendahului Serie A ketika saingan kejuaraan semakin sengit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top