UEFA gantung Prestianni satu perlawanan atas dakwaan rasis

UEFA gantung Prestianni satu perlawanan atas dakwaan rasis


Madrid: Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) hari ini menggantung pemain tengah Benfica, Gianluca Prestianni daripada aksi timbal balik play-off Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Real Madrid selepas dia dituduh melakukan penghinaan berbaur perkauman terhadap Vinicius Junior.

Badan disiplin UEFA, yang masih menyiasat insiden didakwa berlaku pada perlawanan pertama minggu lalu berkata dalam satu kenyataan, mereka telah “memutuskan untuk menggantung sementara Gianluca Prestianni bagi perlawanan seterusnya dalam pertandingan kelab UEFA yang sepatutnya dia layak beraksi.”

Oleh itu, Prestianni tidak dapat beraksi untuk Benfica di Santiago Bernabeu, awal pagi Khamis ini ketika kelab Portugal itu cuba bangkit daripada ketinggalan 0-1 dan mara ke pusingan 16 terakhir.

Pemain antarabangsa Brazil itu menjaringkan gol yang memisahkan kedua-dua pasukan dan melaporkan dakwaan penghinaan berbaur perkauman kepada pengadil selepas sambutan jaringannya, menyebabkan perlawanan dihentikan kira-kira 10 minit.

UEFA berkata, penggantungan sementara satu perlawanan terhadap Prestianni adalah tanpa menjejaskan sebarang keputusan yang mungkin dibuat badan disiplin UEFA selepas siasatan berterusan selesai.

Jika UEFA mendapati pemain berusia 20 tahun itu benar-benar melakukan penghinaan perkauman terhadap Vinicius, dia akan digantung sekurang-kurangnya 10 perlawanan.

Prestianni yang bertengkar dengan Vinicius sambil menutup mulut menggunakan bajunya, menegaskan dia tidak melakukan penghinaan perkauman terhadap penyerang Real Madrid itu.

Pertahanan Real Madrid, Trent Alexander-Arnold menyifatkan insiden itu sebagai memalukan buat bola sepak, manakala penyerang Kylian Mbappe berkata Prestianni tidak lagi layak beraksi dalam Liga Juara-Juara.

Jurulatih Benfica, Jose Mourinho, yang turut digantung untuk aksi timbal balik itu, secara kontroversi mengkritik sambutan gol penuh emosi Vinicius dan berkata kelabnya tidak mungkin bersifat perkauman kerana ikon terhebat mereka iaitu Eusebio, berkulit hitam.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top