UEFA tolak format 64 pasukan, bimbang jejas kelayakan

UEFA tolak format 64 pasukan, bimbang jejas kelayakan


PRESIDEN Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin, mengecam cadangan untuk memperluaskan Piala Dunia Lelaki 2030 kepada 64 pasukan, dengan menyifatkan konsep tersebut sebagai idea yang buruk.

Malah, Ceferin secara tidak langsung mengkritik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana tidak memaklumkan badan induk bola sepak Eropah itu terlebih dahulu mengenai cadangan berkenaan.

FIFA sebelum ini mengesahkan bahawa pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menggunakan format baharu yang lebih besar sebagai acara khas bagi meraikan ulang tahun ke-100 Piala Dunia, selepas cadangan tersebut dikemukakan dalam mesyuarat Majlis FIFA oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Uruguay, Ignacio Alonso.

Badan induk bola sepak dunia itu menyatakan bahawa perkara berkenaan dibangkitkan secara spontan, dan pihaknya bertanggungjawab untuk menganalisis setiap cadangan yang diterima.

Namun, Ceferin menegaskan bahawa UEFA tidak akan menyokong idea tersebut, sambil meluahkan rasa tidak puas hati dengan cara cadangan itu dikemukakan secara tiba-tiba.

“Cadangan ini lebih mengejutkan bagi kami berbanding untuk anda. Saya fikir ia bukan idea yang baik untuk Piala Dunia itu sendiri, dan juga bukan idea yang baik untuk proses kelayakan kami.

“Jadi, saya tidak menyokong idea itu. Saya tidak tahu dari mana ia datang, tetapi agak pelik kami tidak mengetahui apa-apa sebelum cadangan ini dikemukakan dalam mesyuarat Majlis FIFA,” katanya selepas Kongres Tahunan UEFA di Belgrade.

UEFA dijadualkan menghantar 16 pasukan ke Piala Dunia 2026 apabila kejohanan itu buat pertama kali menggunakan format 48 pasukan. Jumlah itu berpotensi meningkat lagi sekiranya Piala Dunia diperluaskan kepada 64 pasukan, namun UEFA kurang berminat dengan format kelayakan yang lebih longgar.

Sebagai rekod, Piala Dunia 2030 akan dianjurkan di Sepanyol, Portugal dan Maghribi, dengan beberapa perlawanan khas diadakan di Uruguay, Argentina dan Paraguay.

Edisi itu juga bakal menjadi yang pertama menyaksikan kemungkinan Rusia bertanding semula, bergantung kepada penyelesaian aman dalam perang negara itu dengan Ukraine.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan Rusia kembali ke kejohanan antarabangsa, Ceferin menegaskan pendiriannya bahawa penggantungan hanya akan ditarik balik apabila konflik tersebut berakhir.

“Apabila perang berhenti, mereka akan diterima semula. Keputusan pertama (untuk mengharamkan Rusia) dibuat bersama FIFA. Dan berdasarkan perbincangan kami dengan FIFA, saya fikir keputusan akan dibuat secara bersama apabila tiba masanya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top