London: Oliver Glasner percaya jika Crystal Palace diturunkan ke saingan Liga Konferens, ia akan dirasakan ‘seperti kami dihukum, walaupun tidak bersalah’.
Kelab dari London itu layak ke Liga Europa selepas menjuarai Piala FA musim lalu.
Namun, The Eagles berdepan halangan susulan peraturan UEFA berkaitan pemilikan kelab.
Badan induk bola sepak Eropah itu menyatakan pada 1 Mac lalu bahawa ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), John Textor, mempunyai kawalan atau pengaruh terhadap Palace dan juga kelab Perancis, Lyon.
Menurut peraturan UEFA, dua kelab yang dimiliki atau dipengaruhi oleh individu yang sama tidak boleh bersaing dalam kejohanan Eropah yang sama, dan Lyon kekal mendapat tempat ke Liga Europa berdasarkan kedudukan liga mereka yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, Palace telah membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan pengerusi kelab, Steve Parish hadir pada sesi pendengaran pada hari ini dan keputusan dijangka diketahui Isnin ini.
Ketika Parish memberi keterangan di Lausanne, pengurus Palace, Glasner pula bercakap kepada media di London menjelang aksi Perisai Komuniti iaitu perlawanan pembuka tirai musim bola sepak Inggeris yang menemukan juara Liga Perdana, Liverpool dan juara Piala FA, Palace di Wembley.
“Jika anda dihukum ketika merasakan diri tidak bersalah, ia amat sukar,” kata Glasner.
“Dan itulah yang kami rasa. Jika kami bermain di Liga Konferens, ia seolah-olah kami dihukum, walaupun kami tidak bersalah. Tapi, dalam masa sama, kalau kami tamatkan musim di tangga ketujuh dan layak terus ke Liga Konferens, kami semua pasti akan meraikannya.
“Jadi itulah dua perasaan yang kami alami. Tapi sekali lagi, jika anda tidak lakukan sebarang kesalahan dan masih dikenakan hukuman, perasaan itu tentu tidak menyenangkan. Saya rasa ini bukan hanya saya, tetapi seluruh pasukan. Itulah apa yang kami rasa terhadap keputusan UEFA itu,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd