Belal (kiri) dan Shavkat akan bertarung dalam Oktagon di UFC 310 pada Disember ini. Foto Agensi
JAGUH Kazakhstan dan juga pencabar utama tali pinggang divisyen Welterweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Shavkat Rakhmonov tidak memandang mudah cabaran penyandang juara, Belal Muhammad menjelang pertarungan UFC 310 pada Disember ini.
Shavkat belum tewas dengan rekod 18-0 diumum sebagai lawan kepada Belal (24-3-0) yang akan mempertahankan kejuaraan Welterweight UFC buat kali pertama di Arena T-Mobile, Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 8 Disember.
Ia dijangka menjadi pertarungan epik bagi menutup kalender 2024.
“Anda tidak boleh memandang mudah Belal. Dia miliki teknik yang baik dan paling penting dia tidak pernah berhenti apabila berada di dalam Oktagon.
“Sudah tentu ia akan menjadi pertarungan yang berbeza daripada sebelum ini dan saya akan memberikan segala-galanya untuk merampas kejuaraan daripadanya,” ujar Rakhmonov, Muslim dari rantau Kokshetau.
Sebagai rekod, Belal merampas kejuaraan Welterweight daripada Leon Edwards di UFC 304 pada Julai lalu.
Sebelum pertarungan itu, Belal berlatih selama beberapa minggu bersama bekas juara Lightweight UFC, Khabib Nurmagomedov dan kru Dagestan lain termasuk juara semasa Lightweight, Islam Makhachev dalam usaha memperkemaskan skil gustinya.
Kejayaan menumpaskan Edwards menyaksikan Belal mencipta sejarah sebagai petarung pertama berdarah Palestin muncul sebagai juara UFC.
UFC 310 turut menampilkan Alexandre Patoja (Brazil) yang akan mempertahankan tali pinggang Flyweight menentang Kai Asakura (Jepun).
Selain itu, pertarungan Ciryl Gane menentang Alexander Volkov (Heavyweight), Vicente Luque menentang Nick Diaz (Welterweight), Movsar Evloev menentang Aljamain Sterling (Featherweight) dan Anthony Smith menentang Dominick Reyes (Ligh Heavyweight) turut menggegarkan Arena T-Mobile.