Merab (kanan) enggan bersemuka dengan Umar selepas menuduh sepupu Khabib itu tidak menghormati dirinya.
PETARUNG Georgia, Merab Dvalishvili berkata Umar Nurmagomedov belum layak mencabarnya untuk kejuaraan tali pinggang bantamweight kerana mendakwa sepupu Khabib itu hanya mengalahkan lawan kurang ternama sepanjang karier UFC.
Merab akan mempertahankan gelarannya berdepan Umar di UFC 311 yang berlangsung di California, Amerika Syarikat pada bulan depan.
Menurut Merab (18-4), Umar ‘memotong barisan’ untuk merebut kejuaraan kerana memiliki nama keluarga Nurmagomedov.
Seperti sepupunya Khabib, Umar juga memiliki rekod tanpa kalah sepanjang karier seni bela diri campuran (MMA) dengan rekod 18-0.
Dalam sidang akhbar di Las Vegas pada Sabtu, Merab mendakwa Umar mendapat layanan istimewa daripada Presiden UFC, Dana White dan menuduh petarung Dagestan itu tidak menghormatinya sebagai juara bantamweight.
“Umar mengeluarkan kata-kata kurang menyenangkan di media sosial dan bagi saya ini bukan tindakan anak jantan.
“Jadi sudah tentu saya menganggapnya sebagai serangan peribadi. Apa pun sebelum ini, saya membuktikan saya layak bergelar juara kerana mengalahkan petarung hebat seperti Henry Cejudo, Sean O’Malley, Petr Yan dan Deiveson Figueredo.
“Umar pula? Dia sering mengelak untuk bertarung dan hanya mengalahkan seorang petarung elit (Cory sandhagen). Dia hanya tahu menyalak di internet,” ujar Merab.
Mendengar kata-kata Merab, Umar membalasnya: “Bila masa saya tidak menghormati kamu, negara kamu atau keperibadian kamu. Tidak Pernah! Kamu adalah juara, sudah tentu saya mahu mencabar kamu, jika kamu tidak mahu menjadi juara lepaskan sahaja tali pinggang bantamweight.”
UFC 311 yang berlangsung 19 Januari depan turut menampilkan pertarungan ulangan – Islam Makhachev yang akan mempertahankan gelaran lightweigt berdepan Arman Tsarukyan.
Acara UFC 311 turut menyaksikan Khabib akan berada di penjuru Umar, Islam dan Tagir Ulanbekov yang bertarung dalam diviyen flyweight menentang Clayton Carpenter yang mempunyai rekod 8-0.