UFC 311: Umar mahu harumkan keluarga Nurmagomedov

UFC 311: Umar mahu harumkan keluarga Nurmagomedov


Umar (kiri) mencabar Merab Dvalishvili untuk gelaran bantamweight di UFC 311.

UMAR Nurmagomedov bersedia mengikut jejak langkah sepupunya, Khabib untuk bergelar juara UFC.

Khabib merupakan petarung pertama Dagestan bergelar juara UFC dan dominasinya di Oktagon telah meningkatkan reputasi keluarga Nurmagomedov dalam dunia seni bela diri campuran (MMA).

Adik Umar, Usman merupakan juara lightweight Bellator yang tidak pernah tewas dan akan mempertahankan gelarannya menentang petarung Ireland, Paul Hughes di Abu Dhabi pada minggu hadapan.

Seperti Khabib, Umar juga memiliki rekod MMA yang menakjubkan dengan rekod tanpa kalah 18-0.

Menjelang UFC 311 Ahad ini, Umar berpeluang dililitkan tali pinggang bantamweight sekiranya menumbangkan peyandang juara, Merab Dvalishvili.

“Saya mahu kekal merendah diri tetapi Merab banyak bercakap perkara yang bukan-bukan. Kelakuannya menuju UFC 311 menunjukkan dia takut dan tidak bersedia berhadapan dengan saya.

“Merab tahu dia akan kehilangan gelaran bantamweight sebab itu dia cuba bermain dengan psikologi. Dia menuduh saya hina negaranya (Georgia). Jika ada, sudah tentu wartawan menulisnya.

“Apa pun, tiada siapa yang akan menolongnya sebaik sahaja pintu Oktagon dikunci. Hanya ada dia dan saya. Pada waktu itu, hanya ada satu pemenang dan orangnya adalah saya,” ujar Umar.

Mengulas lanjut, Umar percaya kemenangannya di UFC 311 akan membuatkan nama keluarga Nurmagomedov sebaris dengan nama keluarga Gracie yang terkenal di seluruh dunia kerana memelopori seni bela diri Brazilian Jiu Jitsu atau BJJ.

Acara UFC 311 turut menyaksikan Khabib dan ketua jurulatih, Javier Mendez akan berada di penjuru Islam Makhachev (lightweight) yang berdepan Arman Tsarukyan serta Tagir Ulanbekov (flyweight) yang berdepan Clayton Carpenter.



Source link

OR

Scroll to Top