Islam (kanan) akan berdepan petarung Australia dan juara bertahan welterweight, Jack Della Maddalena di Madison Square Garden hujung minggu ini.
ISLAM Makhachev bersedia menulis bab baharu dalam karier gemilangnya apabila melangkah ke divisyen welterweight untuk mencabar juara bertahan, Jack Della Maddalena dalam pertarungan utama UFC 322 di Madison Square Garden, New York pada hujung minggu ini.
Biarpun berdepan lawan yang lebih besar, bekas juara lightweight itu menegaskan peralihan ke kelas baharu bukan halangan buatnya menyaingi kekuatan fizikal Maddalena.
“Sewaktu saya bersemuka dengan Jack, saya nampak kami sama besar. Saya tidak rasa kecil untuk welterweight.
“Saya ikut program pemakanan dan latihan dengan baik, naikkan berat badan dan kini saya sudah bersedia,” katanya.
Namun di sebalik keyakinan itu, Islam mengakui persiapan kali ini antara yang paling mencabar dalam kariernya.
“Terus terang, ini kem latihan paling sukar dalam hidup saya. Saya mula berlatih tiga bulan lebih awal dan melalui sesi yang amat intensif,” ujarnya.
Beberapa pemerhati menjangka Islam bakal berdepan kesukaran jika gagal melakukan takedown terhadap Maddalena, namun petarung kelahiran Dagestan itu menolak tanggapan bahawa kekuatannya hanya terletak pada aspek gusti.
“Saya mahu orang tahu saya mampu bertarung dalam semua aspek, berdiri mahupun di lantai. Saya pernah berdepan Dustin Poirier dan Alexander Volkanovski dalam pertarungan berdiri.
“Jika lawan berjaya menangkis cubaan gusti saya, saya akan terus menekan dan mencari peluang untuk menjatuhkannya. Ini pertarungan MMA… Gabungan segala elemen,” kata Islam.
Selain mahu membuktikan keupayaan dalam dua kelas berbeza, Islam juga sedar sejarah menantinya jika berjaya menundukkan Maddalena.
“Jika menang, saya akan menjadi petarung ke-11 yang menjuarai dua divisyen di UFC.
“Ia satu impian dan pencapaian yang amat bermakna,” katanya.
Ringkasan AI
- ISLAM Makhachev bersedia menulis bab baharu dalam karier apabila melangkah ke divisyen welterweight untuk mencabar juara bertahan, Jack Della Maddalena di UFC 322 Biarpun berdepan lawan yang lebih besar, bekas juara lightweight itu tidak melihat peralihan ke kelas baharu sebagai halangan Islam mengikuti program pemakanan dan latihan dengan baik sehingga merasa bersedia untuk berhadapan dengan Maddalena Kem latihan kali ini diakui Islam sebagai yang paling sukar dalam kariernya, memulakan persiapan tiga bulan lebih awal Islam mengejar impian menjadi petarung ke-11 yang menjuarai dua divisyen berbeza di UFC






