am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Penganggur yang bertindak sebagai orang suruhan ceti haram atau ‘along’ dipenjara 14 hari dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Kylee Choo Hsien Xin, 25, membuat mengaku itu di hadapan Majistret Arun Noval Dass selepas didakwa mengugut mahu membakar rumah milik lelaki warga emas yang didakwa peminjam wang.
Selain hukuman itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Tertuduh membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membuat ugutan melalui sekeping nota untuk melakukan khianat terhadap rumah milik warga emas berusia 67 tahun di Taman Selatan Yong Peng, dekat sini, 3 pagi, 7 April lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh dua tahun selain diperuntukkan mengikut Seksyen 506 kanun sama iaitu penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pada jam 6 pagi hari kejadian, pengadu yang juga mangsa menemukan satu notis ugutan tulisan tangan yang ditampal di hadapan rumahnya.
Pada masa sama, bahagian hadapan rumah mangsa turut disimbah cat merah sebelum warga emas terbabit membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Bertindak atas laporan dibuat, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada 23 Mei lalu bagi membantu siasatan.
Hasil analisa perbandingan tulisan tangan daripada makmal forensik polis mengesahkan ia ditulis oleh tertuduh sebelum ditampal pada pintu pagar rumah mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Suhaila Shafi’uddin daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
© New Straits Times Press (M) Bhd






