am@hmetro.com.my
Putrajaya: Maklumat berkualiti disalurkan pegawai Unit Integriti (UI) agensi awam dan pegawai Unit Integriti dan Governans (IGU) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) antara pendorong kepada tangkapan serta pertuduhan berkaitan kes salah laku rasuah di Malaysia.
Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Bee Kean berkata, maklumat disalurkan pegawai terbabit membawa kepada 34 tangkapan serta 11 pertuduhan sehingga Januari 2024.
“Semua maklumat yang diterima daripada pegawai UI mahupun IGU akan disalurkan kepada BPIA.
“Bagi tempoh sehingga 15 Ogos lalu, kami menerima 85 maklumat berkualiti yang membawa kepada 23 tangkapan serta sembilan pertuduhan.
“Kebanyakan maklumat berkualiti diterima itu membabitkan kesalahan tuntutan palsu serta menerima rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual khas bersama Harian Metro di Ibu Pejabat SPRM, di sini, baru-baru ini.
Bee Kean berkata, pegawai UI dan IGU adalah seorang yang berpengalaman serta kompetan dengan kebanyakan mereka terdiri daripada gred P14 dan P11.
“Ada di antara mereka mempunyai pengalaman bertugas di bahagian siasatan atau bahagian operasi negeri sekurang-kurangnya tiga tahun,” katanya.
“Selain itu, ada juga antara mereka pernah bertugas di sektor pencegahan. Dengan pengalaman yang luas, mereka tahu bagaimana untuk mengesan kesalahan di agensi ditempatkan,” katanya.
Beliau berkata, terdapat permintaan daripada sektor swasta bagi menempatkan pegawai SPRM yang berperanan seperti pegawai UI dan IGU.
“Ada banyak permohonan kami terima untuk penempatan pegawai unit integriti SPRM termasuk daripada sektor swasta.
“Bagaimanapun, kami tidak mampu untuk menempatkan pegawai memandangkan keutamaan fungsi kami membabitkan agensi awam dan syarikat berkepentingan kerajaan (SBK).
“Malah, penempatan pegawai kami di SBK juga dinilai melalui kajian sama ada syarikat berkenaan mempunyai risiko tinggi (salah laku rasuah) atau tidak,” katanya.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara Unit Integriti dan SPRM dalam konteks penguatkuasaan dalaman.
“UI di agensi awam menjalankan enam fungsi teras, manakala IGU pula melaksanakan sebanyak empat fungsi teras.
“Fungsi-fungsi teras bagi Ul adalah pengurusan aduan, pengukuhan integriti, pengesanan dan pengesahan, pematuhan tadbir urus serta tatatertib, manakala IGU tidak menjalankan fungsi tatatertib dan pematuhan.
“Ul agensi awam dan IGU SBK menguruskan aduan dan melaksanakan fungsi pengesanan dan pengesahan terhadap aduan dan maklumat berkaitan salah laku, tatakelola, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.
Katanya, unit itu berbeza dengan SPRM yang menjalankan siasatan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 (Akta 694).
“SPRM mempunyai kuasa penuh untuk menyiasat, menangkap, menggeledah, menyita dan melucuthak serta mendakwa dengan keizinan Pejabat Peguam Negara.
“Bidang kuasa SPRM meliputi seluruh sektor awam dan swasta di Malaysia berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” katanya.
BPIA selia 695 Unit Integriti Agensi Awam dan SBK
Putrajaya: Seramai 99 pegawai Unit Integriti (UI) agensi awam dan pegawai Unit Integriti dan Governans (IGU) syarikat berkepentingan kerajaan (SBK) ditempatkan dalam pelbagai agensi sehingga 1 Ogos lalu.
Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lim Bee Kean berkata, jumlah itu membabitkan penempatan di kementerian, persekutuan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat setiausaha kerajaan (SUK), SBK dan badan berkanun (BB).
“Jumlah itu membabitkan 51 pegawai di kementerian; 30 di persekutuan, seorang di PBT, lima di SUK, empat di BB dan lapan di SBK.
“Sepanjang tempoh sama juga (sehingga 1 Ogos lalu), SPRM menerusi BPIA menyelia 695 Unit Integriti Agensi Awam dan SBK dalam usaha menjadikan integriti bukan sekadar dasar tetapi juga amalan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi temu bual khas bersama Harian Metro di Ibu Pejabat SPRM, di sini, baru-baru ini.
Bee Kean berkata, BPIA bertanggungjawab menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan integriti melalui IU dan IGU yang ditubuhkan di agensi awam dan SBK.
Katanya, empat peranan utama BPIA termasuk pemantauan penubuhan dan pelaksanaan fungsi teras UI dan IGU melalui sesi naziran, pelaporan dan mesyuarat-mesyuarat.
“Kami juga melaksanakan kajian penarafan risiko rasuah dan penilaian tahap rasuah secara tahunan ke atas agensi awam dan SBK,” katanya.
“Sesi libat urus bersama agensi awam dan SBK juga dijalankan bagi tujuan khidmat nasihat mengenai penubuhan, pelaksanaan fungsi UI serta IGU dan penempatan pegawai SPRM.
“Selain itu, kami juga menyediakan dasar, peraturan, tatacara, garis panduan, pelan strategik untuk rujukan UI serta IGU,” katanya.
Beliau berkata, terdapat 455 UI agensi awam, 168 IGU SBK persekutuan dan 72 IGU SBK negeri yang dikawal selia oleh BPIA sehingga 31 Julai lalu.
Katanya, kaedah penempatan pegawai SPRM di agensi-agensi berkenaan adalah melalui dua kaedah iaitu secara kadet dan peminjaman.
“Melalui secara kader, ia menggunakan perjawatan di kementerian, jabatan atau agensi yang ditempatkan bagi tempoh dua tahun serta tambahan setahun sekiranya perlu atau tertakluk kepada persetujuan pengurusan tertinggi SPRM dan agensi awam.
“Bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan kehendak kementerian, janatan atau agensi berkenaan.
“Bagi secara peminjaman pula, perjawatan di SPRM akan digunakan untuk penempatan di BB dan SBK dengan tempoh penempatan sama seperti secara kader,” katanya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






