UiTM ‘hidupkan roh’ sukan

UiTM ‘hidupkan roh’ sukan


Sazili bersama kontinjen UiTM Shah Alam selepas majlis penyerahan bendera ke kejohanan berkenaan.

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) melihat penganjuran Karnival Sukan Staf (KARiSTA) 2025 bukan sekadar pertandingan dalaman, sebaliknya mampu dijadikan model memperluas budaya kesukanan di peringkat komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, penganjuran sukan dalaman seperti KARiSTA selari dengan aspirasi Dasar Sukan Negara yang mahu meluaskan penglibatan rakyat dalam bidang sukan.

“Dengan kekuatan rangkaian kampus UiTM di seluruh negara, model ini boleh menjadi contoh kepada ‘community sports hub’ yang menyemarakkan budaya sukan dalam masyarakat.

“Malah, ia juga mampu melahirkan atlet serta pegawai sukan yang mungkin late bloomer untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Sukan Sinar.

Menurutnya, KARiSTA turut berperanan sebagai inkubator bakat dan idea yang boleh melahirkan staf berperanan pelbagai dalam ekosistem sukan sama ada sebagai atlet, pengurus, jurulatih mahupun pengadil.

“Mereka yang memiliki kelebihan dan minat ini dapat menyumbang terus kepada pembangunan sukan tanah air melalui penglibatan bersama komuniti setempat, persatuan negeri dan kebangsaan,” ujarnya.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UiTM Shah Alam yang bakal menyertai KARiSTA UiTM 2025.

Mengulas cabaran UiTM untuk menyumbang lebih strategik kepada pembangunan sukan negara, Prof Dr Mohd Sazili mengakui faktor keterbatasan sumber, keperluan kepakaran khusus, hubungan penyelidikan dengan industri serta pengurusan atlet holistik menjadi antara kekangan utama.

“Namun dengan reputasi UiTM sebagai universiti terbesar di Malaysia, cabaran ini juga membuka peluang untuk UiTM muncul sebagai peneraju inovasi dan pembangunan bakat sukan negara,” katanya.

INFO

KARiSTA UiTM 2025 merupakan acara dwitahunan yang menghimpunkan staf dari seluruh kampus UiTM di Malaysia bagi bertanding dalam pelbagai acara, sekali gus menjadi platform mengeratkan silaturahim selain memperkukuhkan jenama UiTM sebagai universiti unggul.



Source link

OR

Scroll to Top