Kuala Terengganu: Skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) merangkul kejuaraan berganda dalam saingan Liga Futsal Institusi Pendidikan Tinggi (LFIPT) edisi ke-14 musim ini.
Kejayaan itu diraih masing-masing menerusi pasukan Liga Super yang menamatkan saingan di tempat teratas dengan mengumpul 25 mata hasil lapan kemenangan dan seri sekali manakala pasukan Liga Wanita IPT meraih 21 mata hasil tujuh kemenangan.
Lebih manis dua pemain UiTM, Muhammad Haiqal Hasnor dan Ayuna Anjani Lamsin masing-masing dinobatkan pemain terbaik Liga Super dan Liga Wanita.
Kemenangan itu menyaksikan pasukan Liga Super yang juga penyandang juara pada musim lalu meraih hadiah wang tunai RM6,000 berserta piala manakala pasukan wanita membawa pulang wang tunai RM3,500 serta piala.
Naib juara Liga Super disandang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengumpul 23 mata sekali gus membawa pulang wang tunai RM3,500 manakala naib juara Liga Wanita menjadi milik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Saingan Liga Premier pula menyaksikan pasukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berjaya merangkul kejuaraan selepas mengetepikan pencabar terdekat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
UniKL yang menamatkan saingan dengan mengutip 19 mata membawa pulang wang tunai RM4,000 manakala UMK yang mengutip 16 mata meraih RM3,000.
Penjaring terbanyak Liga Super menjadi milik pemain UKM, Muhammad Syahmi Safarudin yang meledak 17 gol, pemain Universiti Teknologi PETRONAS, Muhammad Suhail Daud pula muncul penjaring terbanyak Liga Premier dengan 9 gol manakala Nur Adrienna Zamzaihiri daripada pasukan UPNM muncul penjaring terbanyak Liga Wanita dengan menyumbat 10 gol.
Hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Umi Kalsom Hot, Ketua Penolong Setiausaha Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi.
© New Straits Times Press (M) Bhd