Kontinjen UiTM yang mengalas cabaran dalam Kejohanan Sukan MASUM edisi 2025.
KONTINJEN Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicabar untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) buat kali kelapan berturut-turut apabila menyingkap cabaran edisi 2025.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata, UiTM bukan sekadar datang bertanding sebaliknya datang sebagai juara bertahan dengan misi mempertahankan maruah universiti.
“Tujuh tahun berturut-turut kita sudah buktikan dan tahun ini kita mahu pastikan kejuaraan kelapan terus milik UiTM,” katanya pada majlis penyerahan bendera kontinjen di Kompleks Sukan UiTM Shah Alam.
Kontinjen UiTM bakal berentap dengan kekuatan 229 atlet dan pegawai dalam 10 acara utama, termasuk taekwondo, silat, karate, memanah, bola tampar, bola tampar pantai, petanque, sofbol, catur dan boling padang.
Kejohanan dijadual berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 15 hingga 21 September.
Sejak 2017, UiTM muncul kuasa dominan arena sukan IPT, konsisten mengekalkan kedudukan juara keseluruhan Kejohanan Sukan MASUM.
Rekod cemerlang itu menjadikan UiTM pencabar utama yang digeruni, selain sering menjadi penanda aras universiti lain.
Ringkasan AI
- Kontinjen Universiti Teknologi MARA (UiTM) dicabar untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Sukan MASUM buat kali kelapan berturut-turut
- UiTM datang bertanding sebagai juara bertahan dengan misi mempertahankan maruah universiti
- Kontinjen UiTM terdiri dari 229 atlet dan pegawai yang akan bersaing dalam 10 acara utama
- Kejohanan ini akan berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
- Sejak 2017, UiTM muncul sebagai kuasa dominan dalam arena sukan IPT, secara konsisten mengekalkan kedudukan juara keseluruhan Kejohanan Sukan MASUM