rudyfazrunisyam@hmetro.com.my
Selepas tujuh tahun ‘berehat’, Shemud Women 4X4 Challenge kembali dan kali ini aktiviti sukan lasak yang disertai peserta wanita itu menggegarkan bumi Temerloh, Pahang.
Sebanyak 11 pasukan dari seluruh negara termasuk satu pasukan dari Indonesia berentap di pertandingan yang berlangsung di Dataran Pelancongan Temerloh dari 29 hingga 30 November lalu itu.
Peserta mempamerkan kehebatan mengendalikan jentera masing-masing dalam dua kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Novis dan Ekstrem.
Peserta kategori Ekstrem diuji dengan 10 SS (special stage) yang sukar tapi berjaya dihabiskan oleh kebanyakan peserta apabila jentera peserta lengkap dengan winch dan tayar sesuai untuk laluan lebih sukar.
Kategori Novis pula sebanyak lapan SS diadakan bagi menguji peserta yang kebanyakannya adalah pertama kali menyertai pertandingan.
Pengasas Shemud, Narimah Samat berkata, Shemud Women 4X4 Challenge 2025 dianggap sebagai acara ‘comeback’ selepas kali terakhir diadakan pada 2018.
Katanya, acara ini memberikan platform atau peluang kepada peminat sukan lasak 4×4 wanita di negara ini dan antarabangsa untuk menguji kemahiran sebenar mereka.
“Ini juga ini salah satu usaha memperkasakan wanita dalam sukan 4×4 yang kebiasaannya dimonopoli lelaki.
“Cabaran yang disediakan dalam acara ini membuktikan golongan wanita mampu melakukannya dengan baik dan mempunyai kesungguhan untuk menamatkan setiap cabaran,” katanya yang juga Pengerusi Persatuan Rekreasi Wanita Malaysia (WRAM).
Menurut Narimah, Shemud Women 4X4 Challenge 2025 mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), Persatuan Pacuan Empat
Roda Malaysia (MFWDA) dan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.
Katanya, pihaknya merancang meneruskan acara ini pada masa akan datang dengan penyertaan lebih ramai peserta dalam dan luar negara.
Acara tahun ini diserikan lagi dengan Karnival Roda Hero buat pertama kalinya yang menyediakan aktiviti kepada semua segmen permotoran dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat sekitar walaupun terpaksa berpindah lokasi akibat banjir.
Juara kategori Ekstrem disandang peserta dari Johor iaitu Yeo Kwee Choo dan Tahira Najmunisaa.
Juara kategori Novis dimenangi peserta dari Perak iaitu Wan Shuhada Wan Hasnan dan Norsahida Mustafa Kamarudin.
Juara membawa pulang piala dan hadiah iringan disampaikan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Khairur Rizal Ramli.
Hadir sama Presiden MFWDA, Mohd Khairul Nizam Mohd Ibrahim Khan; Presiden MFWDA Pahang, Mohamad Saiful Samsudin dan Penasihat Persatuan Rekreasi Wanita Malaysia (WRAM), Atan Aris serta Presiden Presiden BUWAS 4×4, Dzulkifli Omar.
© New Straits Times Press (M) Bhd






