am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Kemeriahan sambutan Aidilfitri bertukar duka buat tiga keluarga apabila kediaman mereka di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini, terbakar petang tadi.
Dalam kejadian jam 4.25 petang itu, seramai 11 mangsa daripada tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas hampir keseluruhan harta benda mereka musnah dijilat api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 16 anggota bersama empat jentera, termasuk bantuan dari BBP Kuala Terengganu dan BBP Jalan Kota, digerakkan bagi operasi pemadaman.
“Bantuan dari dua balai berkenaan diperlukan berikutan jentera BBP Kuala Nerus ketika itu sedang menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Bandar Baharu Kuala Nerus yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah yang musnah 90 peratus,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.55 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya jam 6.05 petang.
Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






