UKM pertahan kebebasan akademik

UKM pertahan kebebasan akademik


KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi tidak menghalang kebebasan bersuara seluruh warganya dalam memberi kenyataan sama ada secara lisan atau bertulis termasuk di media sosial.

Dalam satu kenyataan Pusat Komunikasi Korporat UKM, pihaknya meraikan sebarang perbezaan pendapat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan negara bangsa.

“Etika dan kematangan mengemukakan pandangan dan hujah harus diamalkan melalui tatacara berkomunikasi yang baik, menegur dan mengkritik secara berhemah di mana setiap pandangan perlu disokong dengan fakta serta lingkungan disiplin keilmuan dan kepakaran.

“Sebagai institusi yang menyanjung tinggi intelektual awam, UKM sentiasa konsisten dalam menggalakkan warganya untuk bersuara berteraskan kepada tradisi ilmu dan peranannya sebagai
Universiti Watan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan awam yang berbentuk konstruktif amat digalakkan sebagai wadah ilmu dan disiplin keilmuan yang menjadi pemangkin perbincangan ilmiah dalam kalangan warga UKM.

Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa menerima keluhan warga akademik UKM berhubung arahan supaya pegawai awam tidak boleh mengeluarkan kenyataan termasuk di media sosial.

Menerusi perkongsian yang dibuat di aplikasi X, Maszlee turut berkongsi surat pekeliling baharu yang dikeluarkan Jabatan Pendaftar UKM kepada seluruh warga akademik dan kakitangannya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top