July 16, 2024

Ulamak PAS Perak cadang Solat Sunat Istisqa’

Ulamak PAS Perak cadang Solat Sunat Istisqa’


– Advertisement –

DEWAN Ulamak PAS Negeri Perak mengambil perhatian terhadap laporan terkini paras air Empangan Bukit Merah yang menyusut kepada paras 20.00 kaki (6.096 meter) pada 28 Jun 2024.

– Advertisement –

Paras air rendah ini memberi kesan kepada aktiviti pertanian yang bersumberkan kepada air di tasik tersebut. Antara yang dilaporkan, bekalan pengairan akan dihentikan sepenuhnya kepada semua kompartment.

Dewan Ulamak PAS Perak mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Perak untuk menganjurkan Solat Sunat Istisqa’ bagi memohon kepada Allah SWT. Allah SWT menyeru kita agar sentiasa berdoa kepada-Nya melalui firman-Nya:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Ghafir: 60)

Imam Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya mengatakan bahawa pada ayat ini adalah dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri.

FirmanNya lagi;

اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَاوَاتٍ وَمِنَ الْأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ الْأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِتَعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْمًا

“Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu.” (Talaq: 12)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa apa yang terjadi di antara langit dan bumi, termasuklah hujan dan pengairan, di bawah kuasa Allah SWT. Tiada siapa yang berkuasa menurunkan hujan, dan menaikkan paras air tasik.

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ اسْقِنَا غَيْثًا مُغِيثًا، مَرِيئًا مَرِيعًا، نَافِعًا غَيْرَ ضَارٍّ، عَاجِلًا غَيْرَ آجِلٍ

Maksudnya: “Ya Allah turunkanlah hujan kepada kami secara merata, menyegarkan, menyuburkan tanaman, bermanfaat tanpa mudharat serta kami mohon agar diturunkan hujan dengan segera tanpa ditangguh-tangguh.” (Riwayat Abu Daud)

Doa yang diajarkan oleh Nabi SAW ini, supaya kita berdoa kepadaNya agar hujan yang diturunkan walaupun lebat, tetapi ia menghalang daripada berlakunya keruntuhan dan kerosakan. Di samping itu juga, diharapkan daripada hujan tersebut akan kebaikan yang banyak.

USTAZ IBRAHIM ZAKARIA
Ketua Ulamak
Dewan Ulamak PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/7/2024

– Advertisement –



Source link

OR

Scroll to Top