am@hmetro.com.my
Kluang: “Hari ini adalah hari ulang tahun perkahwinan kami yang keempat, tetapi tak sangka bertukar menjadi hari pengebumian suami,” kata Nor Syahirah Abu Zaki, 30.
Nor Syahirah adalah isteri Muhammad Amiruddin Kamalruzaman, 29, yang meninggal dunia selepas Honda City dipandu terbabit kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream di Kilometer 25, Jalan Renggam menghala ke Layang-Layang, pada 8 malam tadi.
Nor Syahirah berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga termasuk anak lelaki tunggal berusia setahun, ibunya Foziah Ridzuan, 60, abang Ahmad Zhafir, 34, dan adik, Nur Hafizah, 27, dalam perjalanan dari Pontian berkonvoi dengan enam kenderaan lain.
“Saya dan suami sudah merancang untuk bercuti di Kuala Lumpur memandangkan hari ini merupakan ulang tahun perkahwinan kami, selain untuk menyambut hari lahir saya pada 6 April dan suami pada 7 April.
“Kami mahu ke I- City Shah Alam dan Zoo Negara. Tetapi, Allah SWT lebih menyayangi suami saya,” katanya ketika di Unit Perubatan Forensik Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang hari ini.
Katanya, suaminya juga baharu sahaja menerima tawaran kerja sebagai pengurus acara, di sini dan sepatutnya melapor diri pada minggu depan.
Dia tidak menyangka kata-kata suaminya yang dia tidak mahu lagi berniagadi bazar selepas ini menjadi kenyataan.
“Suami dan saya sudah tiga tahun berniaga ayam goreng di Kampung Melayu, di sini dan pada Ramadan kami berniaga di tapak bazar.
“Saya ingat kata-kata dia sekadar hendak beritahu dia dapat kerja baharu, rupa-rupanya itu petanda dia hendak beritahu kepada saya, dia akan pergi buat selamanya,” katanya.
Dalam pada itu, abang ipar, Muhammad Taqiyuddin Muhammad Faudzi, 36, berkata, pada mulanya dia hairan, kereta dipandu adik iparnya terpisah dari konvoi.
“Kami menaiki enam kereta berasingan memutuskan untuk menggunakan laluan Renggam- Layang-layang kerana laluan biasa agak sesak.
“Saya perasan kereta adik ipar tiada di belakang kereta saya. Kemudian tidak lama selepas itu saya dapat panggilan telefon beritahu kereta Amir terbabit nahas.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian berhampiran simpang Felda Ulu Belitong, saya nampak bomba sedang berusaha keluarkan Amir daripada kereta,” katanya.
Dalam pada itu, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bentong, di sini.
Terdahulu, media melaporkan kegembiraan dua keluarga berhari raya berakhir tragedi selepas seorang maut, seorang parah manakala 13 lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 25 Jalan Renggam-Layang Layang di sini.
© New Straits Times Press (M) Bhd