TIDAK sukar menyambung perasaan, juga tidak sukar memahami Kahar jika anda menonton Project: High Council (PHC). Namun begitu, agak mustahil menonton Kahar tanpa membandingkannya dengan PHC yang lahir dari rahim pengarah dan pasukan produksi yang sama.
Watak Kahar begitu ikonik, sehingga ia dikeluarkan, diberi kepercayaan untuk bercakap-cakap tentang dirinya di layar. Kahar lahir sebagai filem, dijual di panggung dengan tagline ‘keganasan bukan jalan penyelesaian’ juga peringatan awal bahawa naskhah ini tidak dibikin untuk tujuan buli atau apa-apa yang serupa dengannya.
Tapi, apakah sebenarnya ‘bahasa’ seorang Kahar yang dipakai sepanjang cerita ini bergerak? Amir Ahnaf menyarung mata seorang Kahar; sayu seperti anak anjing yang hilang, tapi tajam, persis seorang jantan yang pendendam.
Kahar hanya mahu dipanggil dengan namanya. Bukan anak atau adik kepada sesiapa. Dia hanya mahu dipandang, dianggap wujud dalam sistem yang jahanam. Tapi sayang, Kahar tercipta dari amarah, dendam dan satu-satunya cara untuk ‘dilihat’ adalah dengan menjadi Kapla – mengira siapa yang tewas di atas gelanggang.
‘Bahasa’ filem, ganas atau tewas
Dengan kesedaran penuh bahawa bukan tugas filem menjadikan orang berkelakuan baik, namun dengan tagline yang dijual, saya menjangkakan Kahar akan memakai bahasa berbeza dalam ketegangan sistem siapa paling jantan.
Walaupun akhirnya, hanya keganasanlah yang menyelamatkan orang tertindas (seperti dalam filem ini), namun setidaknya saya mengharapkan Kahar memberikan wacana lain yang lebih kritis dalam dialognya atau watak yang cuba memberi naratif berbeza tentang buli dan keganasan.
KUDRAT bukan hanya tentang mereka, ada keperluan watak seperti Puan Faniza membahaskan buku Lord of the flies, apa dalam kepala pembuli atau sekadar watak Hakeem yang lebih kuat, di suatu petang sambil makan burger cuba meyakinkan Kahar ada jalan keluar lain yang boleh dilakukan selain bertumbuk. Sekadar mengimbangi, atau memberi moral compass berbeza walau akhirnya wacana itu harus tetap tewas.
Pertarungan atas gelanggang yang begitu-gitu sahaja aksinya, kecuali sesi lawan bersama Jojo, tidak cukup memancing saya. Tambahan pula dengan konflik keluarga adik beradik Beja, Kahar yang sama persis diulang dari PHC, sedikit menghampakan.
Namun begitu, dalam jalan cerita yang belum cukup masak ditanak, Kahar diselamatkan peminat PHC yang pasti menyokong filem ini.
Selain itu, kita bersyukur kerana Malaysia ada sutradara setajam Razaisyam Rashid yang begitu berhati-hati menjayakan setiap adegan – ketika kamera berputar dari bawah ke atas apabila Kahar sudah di tempat berbeza. Juga para pelakonnya Aedy, Amir yang berjaya meyakinkan saya bahawa mereka adik-beradik walau muka tidak sama langsung.
Tanpa ada niat merendahkan, jauh sekali mahu mengatakan filem ini teruk, saya hanya percaya bahawa Kahar boleh jadi lebih rencam sekiranya diberikan lebih banyak waktu untuk dihasilkan. Ia masih filem yang bagus, cuma tidak memberi rasa. Filem yang tidak memberi rasa, tidak akan diingati untuk masa yang lama.