KUMPULAN penyokong Harimau Malaya, Ultras Malaya menuntut pihak pengurusan bola sepak negara segera mendedahkan maklumat susur galur tujuh pemain warisan yang digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurut kenyataan kumpulan tersebut di Facebook mereka, isu penggantungan pemain itu bukan sahaja mencalarkan imej Harimau Malaya, malah telah menjatuhkan maruah negara di pentas antarabangsa.
Mereka menegaskan rakyat dan penyokong berhak mengetahui latar belakang sebenar pemain-pemain terbabit bagi meredakan pelbagai spekulasi.
“Sudah empat hari Harimau Malaya dipijak dan dimalukan, namun tiada penjelasan jujur diberikan.
“Pihak pengurusan, khususnya Ketua Pegawai Eksekutif atau Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya perlu segera mendedahkan susur galur pemain-pemain tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, FAM bersama tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berhubung isu pemalsuan dokumen.
FAM mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangannya dan menegaskan perkara itu dipandang serius.
Tujuh pemain warisan yang digantung iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.
FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.
Ketika ini, FAM sedang dalam fasa mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA.
Ultras Malaya turut mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tampil memberi penerangan mengenai status kewarganegaraan tujuh pemain berkenaan.
“Kami menuntut agar pihak KDN dan JPN memberi penerangan adakah permohonan dan proses kewarganegaraan tujuh pemain yang terlibat diurus dengan baik dan teliti.
“Kami menuntut penerangan dari pihak KDN dan JPN bagaimana apa yang terkandung Perkara 19 Perlembagaan Malaysia bertentangan dengan kelulusan permohonan kerakyatan 7 pemain terbabit,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, mereka juga mengkritik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang melakukan kesilapan teknikal ketika menyerahkan dokumen kepada FIFA sehingga membawa padah kepada skuad kebangsaan.
“FAM perlu memberi penerangan apakah kesilapan teknikal yang telah dilakukan ketika penyerahan dokumen kepada pihak FIFA,” ujar kenyataan itu lagi.
Ringkasan AI
- Ultras Malaya menuntut pihak pengurusan bola sepak negara mendedahkan maklumat susur galur tujuh pemain warisan yang digantung oleh FIFA
- Isu penggantungan mencalarkan imej Harimau Malaya dan menurunkan maruah negara di peringkat antarabangsa
- Rakyat dan penyokong berhak tahu latar belakang pemain untuk meredakan spekulasi
- Tujuh pemain warisan didenda dan digantung kerana melanggar kod tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen
- FAM didenda CHF350,000 dan setiap pemain CHF2,000 serta digantung 12 bulan dari aktiviti bola sepak