Ridzuan (tengah) bersama orang kuat UM-Damansara United, Adam Azman dan Afizal Abu Othman selepas majlis menandatangani kontrak baru-baru ini. Foto Agensi
PENGENDALI UM-Damansara United, Ridzuan Abu Shah menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata apabila skuad kendaliannya bertandang ke Stadium Majlis Perbandaran Manjung untuk menentang Perak FA dalam aksi Liga A1 Semi-Pro malam ini.
Menurut Ridzuan, meskipun mengakui cabaran menentang tuan rumah bukan mudah, beliau tetap optimis anak-anak buahnya mampu menghadirkan saingan sengit dan membawa pulang keputusan positif.
“Kami bertandang ke tempat lawan dengan misi jelas iaitu meraih sekurang-kurangnya satu mata. Jika dapat menang, itu satu bonus buat pasukan,” katanya.
Bekas pengendali Malaysian University Football Team (MUFT) itu turut mengakui kurang mengenali kekuatan sebenar Perak FA yang difahamkan diperkuatkan barisan pemain muda.
“Saya tidak begitu mengenali barisan pemain Perak, tetapi difahamkan mereka dibarisi pemain muda yang pastinya memiliki semangat dan tenaga tinggi.
“UM-Damansara akan menurunkan kesebelasan terbaik dan saya mengharapkan pemain-pemain dapat melaksanakan tugasan mengikut perancangan,” ujar Ridzuan yang akan membuat beberapa perubahan taktikal dalam usaha menyesuaikan diri dengan tekanan beraksi di gelanggang lawan.