UM dedah kaedah kebun lestari kepada pelajar antarabangsa

Petaling Jaya: Pendekatan pembelajaran yang mengintegrasikan teori dengan aplikasi praktikal dalam konteks kehidupan sebenar kini menjadi amalan utama dalam pendidikan tinggi, khususnya dalam usaha melahirkan graduan yang berdaya saing, berpemikiran kritis serta berpandangan holistik. Kaedah ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep yang dipelajari, malah memperkukuh keupayaan mereka untuk menyelesaikan masalah dalam situasi sebenar.

Sebagai contoh, Kursus Pengurusan Pertanian Lestari yang dikendalikan oleh Prof Madya Dr Rosazlin Abdullah di bawah Program Sarjana Pengurusan Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaya, telah membuktikan keberkesanan pendekatan ini melalui pelaksanaan pembelajaran berasaskan komuniti.

Seramai 22 pelajar di mana semua pelajar adalah pelajar antarabangsa telah menyertai program komuniti bertajuk “Suburkan Tanah @ Kobunden: Penyelesaian Komuniti untuk Pertanian dan Jaminan Makanan Lestari”, yang diadakan di Kobunden Ventures, Seremban, Negeri Sembilan. Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Universiti Malaya, Heritage Environment Sdn Bhd, KEMAS Daerah Seremban, dan komuniti setempat melalui penglibatan langsung pemilik kebun, Kobunden Ventures.

Program ini telah memberi pendedahan langsung kepada pelajar mengenai cabaran sebenar dalam pengurusan pertanian bandar, khususnya berkaitan isu tanah terganggu atau tanah terosot. Tanah bandar sering diklasifikasikan sebagai tanah yang tidak subur akibat gangguan antropogenik seperti aktiviti pembangunan dan perlombongan, menjadikannya kurang sesuai untuk pertanian tanpa rawatan yang sewajarnya.

Dalam program ini, pelajar bukan sahaja mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam bilik kuliah mengenai ciri-ciri tanah urban, malah turut berpeluang menilai sendiri keadaan sebenar tanah tersebut di lapangan. Pengalaman ini membuka perspektif baharu tentang keperluan pemulihan tanah secara lestari dan inovatif bagi memastikan tanah yang telah terdegradasi dapat digunakan semula sebagai medium pengeluaran makanan yang mampan.

Antara ilmu yang dipelajari termasuk proses fermentasi sisa makanan untuk menghasilkan kompos, penggunaan cecair kompos sebagai baja semula jadi dan penyediaan medium tanaman yang sesuai bagi memulihkan kesuburan tanah. Pelajar turut diajar mengenal pasti struktur tanah, teknik penjagaan anak benih serta kaedah rawatan tanah secara mesra alam dan mampan.

Menurut Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah, pendedahan ini membolehkan pelajar memahami bagaimana teori dalam bilik kuliah boleh diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar dalam komuniti. “Pendekatan seperti ini penting untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berpengetahuan tetapi juga bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan cabaran masa depan seperti keterjaminan makanan,” jelas beliau.

Sementara itu, Dr. Rokiah Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif Heritage Environment Sdn Bhd, turut menekankan kepentingan kerjasama antara sektor pendidikan, industri dan komuniti.

“Program seperti ini bukan sahaja membina kapasiti pelajar dalam bidang pengurusan alam sekitar, malah memperkukuhkan jalinan kerjasama antara pihak universiti dan komuniti tempatan. Kami percaya bahawa pertanian lestari hanya boleh dicapai apabila ilmu, teknologi dan masyarakat digabungkan dalam satu ekosistem pembelajaran yang menyeluruh,” ujar beliau.

Beliau turut menambah bahawa penglibatan pelajar yang terdiri daripada pelajar antarabangsa, terutamanya dari China dan Guinea, Afrika, memberi nilai tambah kepada komuniti tempatan melalui pertukaran ilmu, budaya dan pengalaman yang menyemarakkan semangat pembelajaran dua hala. Ia juga mewujudkan jaringan sosial baru di antara komuniti Daerah Seremban, Syarikat swasta (Heritage Environment Sdn Bhd) dan Universiti Malaya yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar apabila mereka berada di peringkat pekerjaan nanti. Kobunden Ventures juga bersedia untuk membuka peluang kepada pelajar-pelajar menjalani aktiviti ‘hands-on’ bagi merasai sendiri aktiviti berkebun.

Salah seorang pelajar Chen Yan an dari China, turut berkongsi pandangannya: “Melalui program ini, saya memperoleh kefahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana sisa organik boleh dimanfaatkan secara lestari untuk pemulihan tanah urban. Kaedah rawatan tanah yang dipelajari bukan sahaja berkesan dari segi teknikal, malah mencerminkan prinsip kelestarian yang sangat relevan dalam menghadapi cabaran global seperti keterjaminan makanan dan degradasi tanah. Saya percaya pengetahuan ini sangat penting untuk diaplikasikan dalam mana-mana konteks komuniti di seluruh dunia”.

Program ini jelas menunjukkan bahawa pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti bukan sahaja meningkatkan kefahaman pelajar terhadap isu global, tetapi juga memupuk rasa tanggungjawab sosial serta memperkasakan mereka sebagai ejen perubahan ke arah dunia yang lebih lestari.

 

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Prof. Madya Dr. Rosazlin Abdullah, pensyarah dan penyelaras Kursus Pengurusan Pertanian Lestari di bawah Program Sarjana Pengurusan Teknologi Alam Sekitar, Universiti Malaya di rosazlin@um.edu.my

OR

Scroll to Top