UM tingkat kesedaran kesihatan reproduktif warga kampus

Kuala Lumpur: Sambutan Hari Kesihatan Seksual Sedunia (World Sexual Health Day) disambut setiap tahun dengan matlamat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan seksual dan reproduktif di kalangan masyarakat. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih 1 juta jangkitan penyakit kelamin dikesan setiap hari di seluruh dunia, menjadikan kesedaran tentang penjagaan kesihatan seksual semakin kritikal. Universiti Malaya turut serta dalam usaha ini dengan menganjurkan Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif UM 2024, yang berlangsung pada 19 September 2024 di Auditorium Kompleks Perdana Siswa. Program ini dianjurkan oleh Klinik Universiti Malaya dengan sokongan pelbagai pihak.

Dr. Zuraidah Mohamed, Pengarah Klinik Universiti Malaya, menegaskan bahawa kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan reproduktif boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit seksual seperti HIV/AIDS serta jangkitan kelamin lain. Beliau menyatakan bahawa “peningkatan kesedaran dan akses kepada maklumat ini boleh membantu mencapai Sasaran Pembangunan Mampan (SDG) 3.3, yang bertujuan menamatkan wabak HIV dan mengawal penyakit berjangkit lain seperti Hepatitis dan malaria.”

Tambahnya lagi, program kesedaran ini menyediakan maklumat penting tentang pelbagai aspek kesihatan seksual dan reproduktif, seperti perancangan keluarga, pendidikan seks, serta pencegahan penyakit kelamin. Ini selari dengan SDG 3.7, yang menyeru akses universal kepada perkhidmatan kesihatan seksual dan reproduktif. “Dengan adanya program seperti ini, lebih ramai individu akan berupaya membuat keputusan yang lebih baik berkaitan dengan kesihatan mereka,” jelasnya lagi.

Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif UM 2024 ini turut melibatkan kerjasama antara Klinik Universiti Malaya, pelajar-pelajar Pusat Asasi Sains UM, Pejabat Kesihatan Daerah Lembah Pantai, dan Pusat Pembangunan Lestari UM. Lebih daripada 500 pelajar menyertai pelbagai aktiviti sepanjang program, termasuk ceramah kesihatan, pameran interaktif, sesi konsultasi peribadi, dan pemeriksaan kesihatan.

Pegawai Penyelidik di Pusat Pembangunan Lestari Universiti Malaya (UMSDC), Affan Nasaruddin teruja dengan sambutan yang diberi oleh para pelajar. “Ada di antara mereka mengakui yang program ini telah membuka mata mereka. Ada di antaranya yang baru menyedari tentang hak mereka dalam perkara-perkara berkaitan penjagaan kesihatan reproduktif. Paling utama, mereka sedar yang pengetahuan ini bukan hanya terhad tentang kesihatan fizikal, tetapi juga tanggungjawab terhadap diri sendiri dan mereka yang berada di sekeliling mereka,” terangnya.

Secara keseluruhan, Program Kesedaran Kesihatan Reproduktif ini menjadi komponen penting dalam usaha membentuk masyarakat kampus yang lebih sihat, seimbang, dan berpengetahuan, yang seterusnya menyumbang kepada pencapaian matlamat pembangunan mampan global.

“Saya yakin bahawa program ini memberikan pendidikan dan kesedaran yang luas kepada warga kampus serta komuniti setempat. Malah, ia memberi impak positif kepada kesihatan dan kesejahteraan, serta selari dengan hala tuju Universiti Malaya dalam mencapai SDG 3,” kata Professor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman, Pemangku Pendaftar UM, dalam ucapannya semasa perasmian program.

Professor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman, Pemangku Pendaftar UM, dalam ucapannya semasa perasmian program.

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Dr. Zuraidah Mohamed, Pengarah Klinik Universiti Malaya, di drzuraidah@um.edu.my.

OR

Scroll to Top