am@hmetro.com.my
Jelebu: Tiada bahagian Umno di Negeri Sembilan yang berdepan masalah termasuk berkaitan kepimpinan.
Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, berdasarkan laporan diterima daripada semua ketua bahagian, tiada isu besar yang dilaporkan dan semuanya dalam keadaan baik.
“Sekarang ini masih berlangsung mesyuarat cawangan dan di negeri ini sudah 70 peratus mesyuarat cawangan dilaksanakan dengan kehadiran ahli yang ramai.
“Bagaimanapun tidak dinafikan ada dua atau tiga cawangan bahagian Umno yang mempunyai masalah berkaitan kepimpinan dan kita tidak boleh lari daripada masalah itu.
“Kita yakin isu berkenaan tidak akan menjejaskan Umno bahagian berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Program Jom Isi Minyak Motor Percuma Parlimen Jelebu di sebuah stesen minyak di Kuala Klawang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan berkata, dalam politik, mana-mana parti sentiasa terdedah kepada kritikan dan kacau ganggu oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara.
Justeru, katanya, semua kepimpinan peringkat cawangan dan bahagian perlu menguatkan semangat kerjasama dan perpaduan sebagai satu pasukan dalam menuju Pilihan Raya Umum ke-16.
Mengulas program isi minyak percuma itu, Jalaluddin berkata, ia akan menjadi program tahunan Pergerakan Pemuda Umno dan Parlimen Jelebu.
Katanya, program itu diadakan setiap bulan di empat kawasan Dewan Undangan Negeri di Parlimen Jelebu mengikut giliran dan setiap motosikal diisi minyak sehingga tangki penuh sepanjang tempoh program berlangsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd