September 8, 2024

UMNO perlu menang 60 kerusi Parlimen pada PRU-16

UMNO perlu menang 60 kerusi Parlimen pada PRU-16


KOTA TINGGI – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu menang sekurang-kurangnya 60 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usaha tersebut perlu dilakukan walaupun pada PRU-15 parti itu hanya menang 26 kerusi Parlimen manakala selebihnya dimenangi parti komponen BN.

“Tidak mustahil dalam politik daripada menang menjadi kalah, kalah menjadi menjadi menang. UMNO perlu menjadi parti dominan dan kita harap pada PRU-16 nanti UMNO dan BN dapat menang 60 atau lebih kurusi Parlimen,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang kali ke-21 Tahun 2024 di Lotus Desaru Beach Resort, Bandar Penawar di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Pengerang serta Timbalannya, Aznan Tamin.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, walaupun UMNO dan BN selepas PRU15 hanya tinggal 30 kerusi Parlimen tetapi tetap memainkan peranan penting dalam lanskap politik negara apabila bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau mendakwa, UMNO menyelamatkan keadaan selepas PRU15 apabila 30 kerusi BN dan 82 kerusi milik PH bergabung membentuk majoriti mudah menubuhkan kerajaan.

Sementara itu, Azalina berkata, UMNO perlu menjadi parti yang kembali dominan selepas ini dan mendapat tempat yan lebih baik pada PRU16.

Katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), UMNO masih lagi berkuasa ketika ini walaupun tidak sepenuhnya dalam keadaan yang mencabar apabila cuba dipecah belah daripada dalam serta digertak dan diugut dari luar.

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dilaporkan berkata, jumlah kerusi sasaran untuk UMNO hanya akan diumumkan menjelang PRU16 yang berbaki kira-kira tiga tahun lagi.

Menurut Ahmad Zahid, parti mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calonnya tewas dan berada pada kedudukan kedua pada PRU15 serta pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN berkata, formula berkenaan boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan.

Kerajaan Perpaduan ketika ini dibentuk daripada 18 parti terdiri lima gabungan politik iaitu PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan). – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top