PETALING JAYA: Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan (PH) mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Keputusan itu diperoleh hasil pertemuan di kalangan Biro Politik UMNO dengan PH yang diadakan di Kompleks Sri Perdana hari ini.
Dalam kenyataan bersama antara Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatakan bahawa Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah mencapai persetujuan dan beberapa ketetapan.
Katanya, ia termasuk Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-PH menghormati pendirian yang telah diputuskan oleh kedua-dua Biro Politik masing-masing dalam menyentuh isu di Negeri Sembilan.
“Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.
“Ia juga bersetuju untuk memastikan apa jua keputusan Kerajaan Negeri Sembilan yang boleh mencetuskan sebarang bentuk sensitiviti dan membuka ruang perselisihan mesti segera dirujuk kepada Majlis Perundingan Pimpinan UMNO-Pakatan Harapan,” katanya hari ini.
Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan di antara UMNO dan Pakatan Harapan itu dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.-UTUSAN





