September 8, 2024

UMNO tidak akan setuju jual MAHB jika dibawa ke Jemaah Menteri – KJ

UMNO tidak akan setuju jual MAHB jika dibawa ke Jemaah Menteri – KJ


KUALA LUMPUR – Tindakan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) menjual pegangan dalam Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) kepada syarikat pro-Israel didakwa tidak mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika perkara itu dibawa kepada Jemaah Menteri, beliau yakin menteri-menteri daripada UMNO akan membantah cadangan tersebut.

“Saya bersangka baik terhadap rakan-rakan daripada UMNO, parti lama saya. Saya yakin kalau benda ini dibawa ke Jemaah Menteri, saya yakin menteri-menteri UMNO akan membangkang.

“Sebab saya tahu menteri UMNO tidak akan setuju, mungkin terpaksa setuju sekarang sebab kereta api keluar daripada stesen.

“Tapi kalau dibawa dan ditanya kepada Jemaah Menteri, boleh ke tidak kita benarkan Khazanah jual kepada Blackrock, saya rasa menteri-menteri UMNO yang saya kenal, dia tidak akan setuju,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan ahli panel yang lain bergambar bersama selepas forum Rapat Umum ‘Tolak Blackrock’ Selamatkan Harta Negara di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 20 JUN 2024.

Terdahulu beliau antara panel Forum Rapat Umum Tolak Blackrock di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) di sini, malam ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah; Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Jurucakap SSP, Tian Chua dan Sekretariat PETA, Chegubard.

Hadir sama Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali; Pengerusi BDS Malaysia, Dr. Nazari Ismail dan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Menurut Khairy lagi, tindakan Khazanah menjual 30 peratus pegangan saham kepada konsortium itu menentang dasar kerajaan yang selama ini memperjuangkan soal kemanusiaan Palestin.

“Dalam hal ini, penjualan MAHB kepada Blackrock jelas menentang dasar kerajaan Malaysia selama ini termasuklah Kerajaan Madani

“Perkara ini, sebelum keputusan itu dibuat dan diumumkan, sepatutnya dimaklumkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top