harisfadli@hmetro.com.my
Ampang: Ratusan pendatang asing tanpa izin (Pati) dikepung dan ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Flat Pandan Mewah, di sini hari ini.
Tinjauan Harian Metro di flat yang mempunyai 12 blok itu mendapati kebanyakan Pati ditahan terdiri daripada warga Myanmar yang sudah beranak pinak di kawasan itu.
Penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Syafiq, 56, berkata kebanjiran warga asing menyewa di kawasan itu sejak kira-kira lima tahun lalu membuatkan penduduk tempatan menjadi kurang selesa.
Katanya, kumpulan warga asing terbabit sering berkumpul beramai-ramai di kedai milik rakan senegara mereka dan membuat bising hingga ke awal pagi yang mengganggu ketenteraman penduduk sekitar.
“Kami di sini merasakan bagai duduk di luar negara kerana bila turun ke bawah, melalui tangga lihat terlalu ramai warga asing melepak di sekitar kawasan ini.
“Mereka juga sering mabuk dan membuat bising sehingga mengganggu anak-anak saya mahu mengulang kaji pelajaran,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu ketika ditemui di sini, hari ini.
Dia yang sudah menetap di perumahan itu sejak lebih dua dekad lalu mendakwa, kebanyakan warga asing terbabit memiliki kereta dan motosikal sendiri.
Menurutnya, mereka sekeluarga dan penduduk tempatan merasakan seolah-olah berada di bumi asing walaupun tinggal di negara sendiri.
“Mereka tinggal menyewa di sini dan pemilik rumah tidak ambil peduli mereka cuma tahu kutip sewa setiap bulan.
“Kadar sewa untuk rumah di tingkat satu antara RM800 ke RM1,000 tetapi untuk warga asing mereka sewakan bilik pada harga lebih mahal dan tinggal beramai-ramai,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, seramai 119 individu disyaki Pati ditahan dalam operasi berkenaan.
Katanya, keseluruhannya seramai 400 warga asing diperiksa sepanjang operasi bermula 6 petang hingga 11 malam itu.
“Mereka yang ditahan adalah 71 lelaki dan 18 wanita Myanmar, warga Indonesia (4), Bangladesh (14), Nepal (8), dan India (4) kesemuanya berusia lingkungan 18 hingga 50 tahun.
“Kesemua Pati di bawah ke Depoh Imigresen Semenyih bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama,” katanya.
Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan oleh 101 pegawai dan anggota JIM dengan bantuan 160 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Pasukan Gerakan Am (PGA) (110 orang), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (60 orang), Jabatan Pendaftaran Negara (7 orang).
© New Straits Times Press (M) Bhd