UMS pastikan Crisnanalina Jumis terima bantuan secukupnya

UMS pastikan Crisnanalina Jumis terima bantuan secukupnya


KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengarahkan Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar universiti ini untuk berhubung dengan Crisnanalina Jumis, 20, yang berasal dari Kg. Dalamas, Paitan, Sabah yang menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran ke UMS.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, beliau amat prihatin terhadap isu kesukaran dari segi kewangan yang dialami oleh Crisnanalina.

“Kita akan pastikan beliau akan menerima bantuan secukupnya apabila mendaftar ke universiti ini nanti. Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar juga akan memastikan bantuan terhadap keperluan beliau apabila berada di kampus, selain membantu pelajar berkenaan membuat permohonan bantuan kewangan yang berkaitan,” katanya.

Kasim berkata Crisnanalina mahupun mana-mana pelajar baharu UMS tidak perlu khuatir tentang pembayaran yuran pendaftaran universiti, kerana pihak universiti telah melaksanakan pelbagai inisiatif.

Ia termasuk kemudahan penangguhan yuran pendaftaran universiti bagi memastikan pelajar dapat menyelesaikan urusan pendaftaran tanpa perlu bimbang berkenaan masalah
kewangan.

“Selain itu, pihak universiti juga turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang boleh dimohon oleh pelajar khususnya yang kurang berkemampuan seperti bantuan kewangan (MyCare), bakul makanan dan sumbangan zakat.

“Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar khususnya juga bersedia membantu para pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan pendidikan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta permohonan biasiswa seperti Biasiswa Kerajaan Negeri, Yayasan Sabah, Biasiswa MARA, dan sebagainya,” katanya.

Ujar Kasim, inisiatif yang dilaksanakan adalah usaha UMS dalam mengutamakan kebajikan pelajar agar dapat melanjutkan pengajian di peringkat tertinggi walaupun daripada pelbagai latar belakang ekonomi. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top