amir_hamid@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Langkah Kementerian Pengangkutan (MOT) mengkaji semula enam undang-undang maritim utama negara disifatkan sebagai tindakan tepat dan sepatutnya sudah lama dilakukan.
Ketua Penyelidik Unit Undang-Undang Antarabangsa, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli berkata, banyak undang-undang maritim negara masih berlandaskan ordinan dan akta yang digubal sejak era kolonial yang sudah tidak relevan dengan cabaran semasa.
Sebagai contoh, katanya, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 sudah terlalu lama dan tidak mampu menangani industri maritim moden yang kini lebih kompleks, berteknologi tinggi serta menuju ke arah digitalisasi dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Malaysia sebagai negara perdagangan utama dan ‘penjaga’ Selat Melaka, amat bergantung kepada sektor maritim kerana lebih 90 peratus perdagangan negara menggunakan pengangkutan laut.
“Sistem perundangan maritim yang moden, mesra industri dan selari dengan kehendak antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) serta yang diendors oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) amat penting bagi memastikan daya saing dan keselamatan sektor ini.
“Malaysia meratifikasi UNCLOS sejak 1982, tetapi masih ada peruntukan seperti hak lintas transit yang belum diadaptasi dalam undang-undang domestik, berbeza dengan Indonesia. Ini menunjukkan tidak semua peruntukan UNCLOS sudah didomestikkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mohd Hazmi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke semalam yang dilaporkan berkata, MOT sedang mengkaji semula enam undang-undang maritim termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang disifatkan sudah lapuk dan tidak relevan dengan perkembangan semasa.
Loke dipetik berkata, kajian semula itu bagi memastikan industri maritim negara lebih kompetitif dan dinamik, selaras dengan status Malaysia sebagai negara perdagangan utama.
Mengulas lanjut, Mohd Hazmi turut mencadangkan MOT mengambil pendekatan lebih menyeluruh termasuk aspek keselamatan siber bagi pelabuhan pintar (smart port), automasi dalam pengurusan pelabuhan, pematuhan konvensyen antarabangsa seperti pencemaran laut (MARPOL) dan Konvensyen Antarabangsa untuk Keselamatan Nyawa di Laut (SOLAS) serta perlindungan hak pekerja maritim.
“Suara pemain industri juga penting. Undang-undang baharu tidak seharusnya terlalu ketat sehingga mengekang pertumbuhan sektor perkapalan dan pelabuhan negara.
“Penggubal undang-undang perlu memastikan Malaysia setara dengan negara jiran seperti Singapura dan Indonesia dalam menarik pelaburan maritim,” katanya.
Katanya, dunia kini menuju ke arah perkapalan swapandu (autonomous shipping) dan undang-undang maritim negara juga perlu mengikut arus perkembangan itu.
“Kita ketinggalan jika dibandingkan dengan Singapura yang sudah mempunyai regulatory sandbox (kerangka awal selia khas) untuk teknologi perkapalan swapandu.
“Justeru, sudah sudah tiba masanya undang-undang maritim negara ditambah baik bagi memacu Malaysia menjadi negara maritim unggul,” katanya yang mengesyorkan lantikan pakar untuk menasihati kerajaan dalam proses pindaan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd