PEMAIN tengah Manchester United, Casemiro menyifatkan pengurusan kelab itu kini berdepan dengan masalah besar dalam membuat keputusan mengenai masa depan Michael Carrick sebagai pengurus pasukan.
Carrick yang dilantik sebagai pengurus sementara pada Januari lalu selepas pemergian Ruben Amorim berjaya membuktikan kredibilitinya apabila membawa The Red Devils kembali ke saingan Liga Juara-Juara dengan tiga perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) masih berbaki.
Sepanjang mengendalikan 14 perlawanan, Carrick hanya tewas dua kali selain melakar kemenangan bergaya ke atas pasukan besar seperti Manchester City, Arsenal dan Chelsea.
Walaupun United kini dikaitkan dengan beberapa calon lain termasuk pengurus Bournemouth, Andoni Iraola yang bakal meninggalkan kelabnya pada penghujung musim, Casemiro menegaskan bahawa Carrick merupakan individu paling layak untuk jawatan tersebut secara tetap.
“Kelab ini berdepan masalah besar dalam aspek itu. Kita tahu dia datang sebagai pengurus sementara, dia menjalankan tugas dengan cemerlang dalam perlawanan-perlawanan sukar.
“Dia seorang yang mengenali kelab ini dengan cukup baik. Dia tahu apa itu Manchester United, dia mempunyai kelas tersendiri, sikap yang tepat, dan dia adalah seorang individu yang luar biasa. Jika ditanya pendapat saya, dia memang layak untuk kekal,” kata Casemiro dalam temu bual bersama TNT Sports Brasil.
Tambah pemain antarabangsa Brazil itu, pengalamannya bekerja dengan Carrick setiap hari membuatkannya yakin bahawa bekas pemain tengah United itu adalah calon terbaik untuk jangka masa panjang.
“Mengenali dia setiap hari, anda pasti akan berkata dia layak. Dia hidup dan bernafas bersama kelab ini. Bagi saya, dia perlu kekal di sini untuk beberapa tahun lagi kerana dia benar-benar berhak mendapatkan tugas itu,” ujarnya lagi.






