PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim menyifatkan pasukannya berdepan perjalanan panjang kembali ke prestasi terbaik selepas Nottingham Forest mencatatkan kemenangan pertama mereka di Old Trafford sejak 30 tahun lalu.
Forest menang 3-2 untuk menyaksikan Amorim mencatat kekalahan kedua di Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak mengambil alih pasukan itu.
Keputusan itu meletakkan United di tangga ke-13 dalam carta EPL dengan hanya 19 mata, jumlah mata terendah mereka selepas 15 perlawanan sejak musim 1986-87.
“Kami sudah tahu (ia akan menjadi sukar). Ia akan menjadi satu perjalanan yang panjang tetapi kami mahu menang kerana ini adalah kelab yang besar. Anda dapat rasa, apabila anda tewas satu perlawanan ia amat sukar untuk semua orang.
“Saya dapat memahaminya. Saya dapat merasakannya di stadium selepas gol pertama. Kami memahami situasinya, tetapi kami perlu meneruskan dengan cara yang sama.
“Kata-kata yang sama ketika kami menang ke atas Everton, kami perlu fokus pada prestasi dan perlu meningkat dalam setiap aspek permainan,” katanya.
Nikola Milenkovic menjaringkan gol pertama Forest melalui tandukan sebelum Morgan Gibbs-White menjaringkan gol kedua disusuli gol ketiga yang dijaringkan oleh Chirs Wood.
Gol United pula dijaringkan oleh Rasmus Hojlund dan Bruno Fernandes.
“Saya mengalami keadaan ini dan lebih teruk di Sporting pada mulanya.Perasaan untuk saya adalah sama tetapi untuk dunia ia sama sekali berbeza.
“Anda tahu Sporting di Portugal tetapi Manchester (United) diberikan lebih banyak tumpuan, tetapi bagi saya ia adalah perasaan yang sama.
“Saya mempunyai tempoh ini di Sporting dan jika anda berpengalaman sedikit dalam bola sepak ini berlaku dengan banyak kelab dan kami perlu menguruskan untuk terus melakukan perkara yang sama dan memperbaiki pasukan kerana ini akan berubah.
“Kami memerlukan masa dan untuk terus bekerja dengan cara yang sama setiap hari,” katanya.