PENGENDALI Manchester United, Ruben Amorim tampil mempertahankan keputusan The Red Devils untuk mengadakan perlawanan di Malaysia dan Hong Kong selepas saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir bulan depan.
Red Devils dijadualkan berdepan ASEAN All Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei sebelum meneruskan perjalanan ke Hong Kong untuk satu lagi perlawanan di Stadium Hong Kong dua hari kemudian.
United akan terbang ke Asia sebaik sahaja perlawanan terakhir liga menentang Aston Villa di Stadium Old Trafford pada 25 Mei.
Pemain-pemain United kemudiannya akan menyertai pasukan kebangsaan masing-masing pada minggu berikutnya.
Amorim juga dijadualkan mengetuai Red Devils ke Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada kejohanan pramusim Liga Perdana Inggeris antara 26 Julai dan 3 Ogos.
Sebagai rekod, United mempunyai kelompok penyokong terbesar di Malaysia.
Kali terakhir United beraksi di negara ini adalah pada tahun 2009 dan lawatan terakhir ke Hong Kong adalah pada tahun 2013.
Ketika ditanya sama ada beliau dirujuk mengenai perlawanan itu, Amorim berkata: “Ya, sudah tentu. Lembaga pengarah telah berbincang dengan saya mengenai situasi ini.
“Kita perlu melihat konteks kelab. Kita sedang menaikkan harga tiket.
“Jadi kita melakukan semua ini sebagai pengorbanan kecil. Ia akan mengambil masa enam hari dan kita dapat berinteraksi dengan peminat di seluruh dunia.
“Mereka datang ke sini setiap hujung minggu untuk menyaksikan perlawanan di Old Trafford, jadi semua orang di kelab membuat pengorbanan.
“Ini tidak seberapa berbanding apa yang dilakukan orang ramai untuk menonton perlawanan kami. Kami akan melakukan bahagian kecil kami.
“Kami bertuah berada di sini dan kami bergerak ke hadapan kerana lawatan itu juga mungkin membantu kami untuk memperbaiki pasukan jika perlu.”