United mampu cabar mana-mana pasukan EPL- Amorim

United mampu cabar mana-mana pasukan EPL- Amorim


MANCHESTER United tewas kepada Arsenal pada aksi pembukaan musim baharu pada Ahad, namun pengendali, Ruben Amorim tetap optimis dan percaya skuad bimbingannya kini mampu menewaskan mana-mana pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

United yang mahu melupakan kekecewaan musim lalu apabila sekadar menamatkan saingan di tangga ke-15, dikecewakan jaringan tunggal pertahanan Arsenal, Riccardo Calafiori yang menanduk masuk gol hasil sepakan sudut pada awal perlawanan.

Kesilapan penjaga gol Altay Bayindir yang gagal menyekat cabaran William Saliba membuka ruang mudah buat Calafiori menanduk masuk bola, sekali gus menghadiahkan kemenangan 1-0 kepada Gunners di Old Trafford.

Bagaimanapun, Amorim melihat persembahan United lebih meyakinkan berbanding musim lalu.

“Kami ada pemain untuk menang mana-mana perlawanan dalam EPL. Hari ini kami lebih agresif, kami berani lawan satu lawan satu sepanjang perlawanan dan melakukan tekanan tinggi. Kami juga ada kualiti ketika menguasai bola,” katanya.

Dua muka baharu, Matheus Cunha (dari Wolves) dan Bryan Mbeumo (Brentford) berjaya menyuntik kepantasan serta kreativiti di bahagian serangan United, dengan Cunha dianggap antara pemain terbaik perlawanan selepas mencipta tiga percubaan tepat.

“Kami buat banyak perkara dengan betul. Kami lebih agresif dan berani. Bryan dan Cunha banyak membantu. Walaupun stadium sedikit gelisah, kami tetap berpegang kepada pelan permainan. Itu akan membantu kami pada masa depan,” jelas Amorim.

Menurutnya, penyokong mahu melihat perubahan dalam gaya permainan United.

“Mereka mahukan perasaan itu kembali. Bila datang ke Old Trafford, mereka tidak mahu rasa bosan. Kami perlu menang lebih banyak berbanding musim lalu, tetapi mereka juga mahu lihat sesuatu yang berbeza dan menikmatinya,” katanya.

Dari sudut pertahanan, United dilihat lebih kemas berbanding musim lalu, namun kesilapan Bayindir sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai kedudukan penjaga gol utama pasukan itu.

Namun, Amorim enggan menuding jari sebaliknya mahu pasukannya menyesuaikan diri dengan corak fizikal yang ditampilkan Arsenal ketika situasi bola mati.

“Jika anda lihat semula gol itu, pemain dibenarkan melakukan banyak perkara ketika sepakan sudut. Jadi kami juga perlu buat perkara sama. Namun sebagai penjaga gol, anda mesti guna tangan untuk tangkap bola, bukan menolak pemain lawan dan melepaskan bola,” ujarnya.

Bayindir dipilih beraksi menggantikan Andre Onana yang baru pulih daripada kecederaan dan hanya sempat menjalani tiga sesi latihan. Ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertukaran posisi itu, Amorim hanya menyifatkannya sebagai isu kecil dalam perancangan pasukan.



Source link

OR

Scroll to Top