Berlin: Dua kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Newcastle United kini bersaing sengit bagi mendapatkan penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko, lapor akhbar tabloid Jerman, Bild, semalam.
Menurut laporan itu, United membuat bidaan awal sebanyak €85 juta (RM427 juta) bagi mendapatkan khidmat penyerang tengah berusia 22 tahun itu.
Newcastle sebelum ini mengemukakan tawaran awal €80 juta (RM402 juta) sebelum menaikkan bidaan mereka kepada jumlah sama seperti United, termasuk bonus, sehari kemudian.
Sesko menjaringkan 13 gol dan mencipta lima bantuan jaringan dalam kempen Bundesliga bersama Leipzig musim lalu.
Di pentas antarabangsa, penyerang Slovenia itu sudah meledak 16 gol dalam 41 penampilan.
Kelibatnya turut tidak kelihatan ketika aksi persahabatan menentang Atalanta pada Sabtu lalu, yang dimenangi pelawat 2-1, dipercayai kerana proses perpindahan sedang berlangsung.
Perkara itu disahkan oleh pengarah sukan Leipzig, Marcel Schaefer yang menyatakan Sesko ‘tidak diturunkan kerana minat sangat konkrit daripada beberapa kelab’.
United kini sedang giat membina semula skuad selepas mencatat musim terburuk dalam saingan divisyen utama sejak 51 tahun lalu, selain tewas kepada Tottenham Hotspur dalam final Liga Europa.
Serangan mereka musim lalu dilihat tumpul dan sudah membawa masuk dua penyerang iaitu Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo pada jendela perpindahan musim panas ini.
Ketibaan Sesko dijangka menjejaskan masa depan penyerang Denmark, Rasmus Hojlund, yang dilaporkan bakal dijual.
© New Straits Times Press (M) Bhd