United perlu 'menderita' sekali lagi di Old Trafford untuk ke final

United perlu 'menderita' sekali lagi di Old Trafford untuk ke final


Manchester: Pengendali Manchester United, Ruben Amorim memberi amaran bahawa skuadnya perlu berkerja keras sekali lagi pada aksi timbal balik separuh akhir Liga Europa menentang Athletic Bilbao, biarpun sudah memiliki kelebihan selesa 3-0 dari aksi pertama.

Tiga gol separuh masa pertama di Bilbao meletakkan United hampir ke pentas final, namun Amorim enggan pemainnya terlalu yakin, terutama melihat kepada prestasi hambar mereka di saingan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan kelab itu kini berada di tangga ke-15.

“Jika kita lihat skuad ini, kita tidak boleh ramalkan apa yang akan berlaku. Dalam mana-mana liga pun ada pasukan yang boleh ubah rentak permainan bila-bila masa,” katanya pada sidang media.

“Kami perlu hadapi perlawanan ini seperti perlawanan biasa. Saya rasa kami masih perlu menjaringkan gol untuk mara ke pusingan seterusnya. Kami bersedia untuk ‘menderita’ sedikit bagi layak ke final.”

United tidak dapat menurunkan tonggak pertahanan tengah, Matthijs de Ligt yang mengalami kecederaan ketika kekalahan 3-4 kepada Brentford, Ahad lalu.

“Ia bukan kecederaan serius, itu berita baik. Tapi dia tidak akan bermain esok atau Ahad ini. Selepas itu kita akan lihat dari hari ke hari,” kata Amorim.

“(Pertahanan tengah) Ayden Heaven juga tidak sempat pulih. (Pemain tengah bertahan) Toby Collyer juga tidak dapat diturunkan.”

Athletic Bilbao turut berdepan masalah kecederaan dengan dua adik beradik, Nico dan Inaki Williams dijangka tidak dapat beraksi pada kunjungan ke Old Trafford.

Dalam masa sama, Amorim turut menjawab spekulasi mengenai kapten United, Bruno Fernandes yang dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Pro Saudi.

“Tidak sukar untuk faham kenapa ada spekulasi. Bukan sahaja kerana statistiknya, tetapi juga kerana cara permainannya. Dia pemain kelas atasan, kami perlukan pemain seperti itu. Dia seorang pemimpin dan kapten pasukan,” katanya.

Fernandes, 30, menjaringkan 19 gol dan mencipta 18 bantuan gol dalam 52 perlawanan untuk United musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top