MANCHESTER United dilaporkan bersedia mendengar tawaran daripada mana-mana pasukan untuk penyerang mereka, Marcus Rashford pada Januari nanti.
Rashford telah menjaringkan 138 gol untuk United sejak menyertai pasukan senior pada 2016, tetapi selepas kempen yang menakjubkan pada 2022-23, dia gagal untuk mengulangi prestasi itu.
Penyerang England itu menjaringkan 30 gol pada musim tersebut dan kemudiannya menandatangani perjanjian lima tahun baharu bernilai £325,000 (RM1.8 juta) seminggu.
Bagaimanapun, dia hanya menjaringkan lapan gol pada musim 2023-24 selain turut dicemari isu disiplin yang menjejaskan persembahannya di atas padang.
Untuk musim ini pula, Rashford telah menjaringkan empat gol Liga Perdana Inggeris (EPL) dan telah menunjukkan tanda-tanda untuk kembali ke tahap terbaik sejak Ruben Amorim mengambil alih pasukan.
Tetapi, dia masih tidak mendapat tempat dalam kesebelasan utama di bawah Amorim yang lebih gemar menggilirkan pemain.
Menurut Sky Sports Germany, United terbuka untuk menjual Rashford yang juga produk daripada akademi mereka itu.
Laporan itu mendakwa bahawa walaupun kelab itu mengakui peningkatan Rashford di bawah Amori, namun kelab itu tidak melihat pemain itu tidak boleh dijual pada jendela perpindahan akan datang.
The Telegraph juga melaporkan bahawa United bimbang tentang gaya hidup penyerang itu di luar padang dan merasakan dia kurang fokus.