Bryan Mbeumo (depan) dijangka mengetuai jentera serangan United berdepan Tottenham Hotspur malam ini.
PENGANALISIS bola sepak dan bekas pemain kebangsaan England, Chris Sutton meramalkan aksi Tottenham Hotspur menentang Manchester United malam ini berkesudahan seri, dengan kedua-dua pasukan dijangka sukar mengutip tiga mata penuh di London Utara.
Skuad kendalian Ruben Amorim tampil dengan keyakinan lebih baik selepas empat perlawanan terakhir tanpa kalah, namun Sutton berpendapat prestasi United di laman masih belum cukup stabil untuk menjamin kemenangan.
Menurutnya, Spurs juga masih tidak konsisten di laman sendiri dan statistik perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur sejak beberapa minggu lalu tidak memberi gambaran positif.
“Saya tidak pasti apa yang boleh dijangka daripada Tottenham ketika ini,” katanya.
Tambahnya, Spurs hanya mengutip satu mata daripada empat aksi liga terakhir di laman sendiri, meskipun berjaya menumpaskan Copenhagen dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pada pertengahan minggu.
Sutton turut berpandangan bahawa kelemahan kedua-dua pasukan dalam aspek penyudah menjadikan kebarangkalian seri lebih tinggi.
“Walaupun United menunjukkan peningkatan, saya belum benar-benar yakin dengan mereka terutamanya di perlawanan di gelanggang lawan,” ujarnya.
Spurs mencatat empat kemenangan ke atas United musim lalu, termasuk dalam final Liga Europa, namun Sutton merasakan momentum itu belum cukup untuk menentukan kelebihan jelas menjelang pertembungan kali ini.
Sutton meramalkan perlawanan berkesudahan dengan keputusan 1-1.
Ringkasan AI
- Chris Sutton meramalkan perlawanan antara Tottenham Hotspur dan Manchester United berakhir seri
- Skuad Ruben Amorim tampil lebih yakin tetapi prestasi United di laman lawan tidak stabil
- Spurs tidak konsisten di laman sendiri dengan hanya satu mata dari empat perlawanan liga terakhir
- Kelemahan kedua-dua pasukan dalam aspek penyudah meningkatkan kemungkinan seri
- Sutton meramalkan keputusan perlawanan 1-1





