BEKAS penyerang Manchester United, Michael Owen menegaskan The Red Devils tidak memerlukan penjaga gol baharu biarpun Andre Onana terus dikritik selepas melakukan kesilapan dalam kekalahan memalukan aksi Piala Liga Inggeris pusingan kedua kepada Grimsby Town.
Kelab divisyen empat itu mencipta kejutan besar abad ini apabila menyingkirkan skuad bimbingan Ruben Amorim menerusi penentuan penalti, selepas United bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengheret perlawanan ke penentuan tersebut.
Amorim melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utamanya di Blundell Park, namun tetap menurunkan skuad terbaik mereka.
Onana, yang dibeli daripada Inter Milan pada 2023, sekali lagi gagal menyerlah pada penampilan sulungnya musim ini selepas kehilangan status penjaga gol utama Liga Perdana Inggeris kepada Altay Bayindir.
Onana mudah dibolosi ketika gol pembukaan Grimsby, sebelum melakukan kesilapan ketika gol kedua lawan terhasil.
Biarpun dikritik peminat dan media, Owen masih percaya penjaga gol Cameroon itu masih ada tempat dalam skuad.
“Memang ada laporan mengaitkan United dengan beberapa penjaga gol baharu. Tapi bagi saya, itu bukan posisi utama yang perlu diperkuatkan. Ramai orang menyalahkan Onana, tetapi saya tidak sekeras itu.
“Ya, dia bukan Peter Schmeichel, tetapi bukan itu bahagian paling mendesak untuk dibaiki,” katanya.
Selepas melalui kempen Liga Perdana 2024-25 yang dianggap paling buruk dalam sejarah kelab, pemilik baharu Ineos menyokong penuh Amorim di pasaran perpindahan.
United melaburkan banyak wang untuk membawa masuk penyerang seperti Matheus Cunha, Bryan Mbeumo serta Benjamin Sesko.
Bagaimanapun, masalah lama masih berulang pada awal musim ini hingga ada pihak mendesak United mencari penjaga gol dan pemain tengah baharu.
Namun bagi Owen, United telah membuat keputusan yang tepat.
“Mereka buat pilihan betul dengan mendahulukan pemain serangan. United sangat lemah menjaringkan gol, jadi mereka tambah penyerang. Itu juga keutamaan saya.
“Kalau nak kejar kejuaraan liga, barulah kita boleh bincang sama ada perlukan penjaga gol baharu atau posisi lain. Tapi buat masa ini, saya tak nampak ia perlu diubah segera. Mungkin ia boleh berubah kemudian, tapi dari segi keutamaan mereka sudah lakukan langkah yang betul,” ujarnya.