Maguire meraikan jaringannya ketika menentang Liverpool. FOTO: AFP
LIVERPOOL mengalami kekalahan keempat berturut-turut buat pertama kali dalam tempoh 11 tahun selepas tewas 2-1 kepada Manchester United sekali gus menamatkan hampir sedekad penantian The Red Devils untuk menang di Anfield.
Jaringan tandukan Harry Maguire pada minit ke-84 memastikan kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris buat kali pertama di bawah kendalian Ruben Amorim.
Cody Gakpo sempat menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat permainan selepas Bryan Mbeumo membuka tirai jaringan seawal minit pertama.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool kini ketinggalan empat mata di belakang pendahulu liga, Arsenal manakal pengurus Arne Slot masih tercari-cari formula terbaik selepas membelanjakan wang yang banyak mendapatkan pemain baharu pada jendela perpindahan lalu.
United pula semakin menghampiri pesaing tradisi mereka dengan hanya dua mata dipisahkan selain naik ke tangga kesembilan liga menjadikan kemenangan yang melegakan Amorim selepas hampir setahun mengemudi kelab itu.
“Ia bermakna segalanya. Liverpool telah mendominasi kami dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan ia bukan sesuatu yang baik buat kelab kami
“Kami tidak banyak memberikan detik seperti ini kepada penyokong, jadi kemenangan ini sudah lama dinantikan iaitu datang ke sini dan membawa pulang tiga mata amat bermakna,” kata Maguire.
Liverpool sebelum ini hanya tewas sekali dalam 14 pertemuan terakhir Liga Perdana menentang United, malah The Reds tidak pernah kalah di Anfield sejak awal era Jurgen Klopp pada Januari 2016.
Namun, skuad itu kini berada dalam fasa peralihan besar selepas rombakan pasukan juara musim lalu serta kehilangan tragik Diogo Jota, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada Julai lalu.
“Ia waktu yang mencabar kerana kami perlu kekal bersatu, bukan hanya sebagai pemain tetapi juga bersama penyokong yang mahu melihat kami menang.
“Apabila keadaan sukar, penting untuk kita mengekalkan semangat dan saling menyokong. Musim ini masih Panjang,” kata kapten Liverpool, Virgil van Dijk.
Ringkasan AI
- Liverpool tewas 2-1 kepada Manchester United, kekalahan keempat berturut-turut buat pertama kali dalam 11 tahun
- Harry Maguire jaring gol kemenangan Manchester United pada minit ke-84
- Liverpool ketinggalan empat mata dari Arsenal dan United dua mata dari pesaing, naik ke tangga kesembilan liga
- Liverpool sebelum ini tewas sekali dalam 14 pertemuan terakhir dengan United, tidak kalah di Anfield sejak era Jurgen Klopp Januari 2016
- Liverpool dalam fasa peralihan dan berduka kehilangan Diogo Jota, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya Juli lalu