UPSI cadang laksana Hari Bahasa Melayu di Uzbekistan

UPSI cadang laksana Hari Bahasa Melayu di Uzbekistan


hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Anida Sarudin mencadangkan pelaksanaan Hari Bahasa Melayu di Uzbekistan bagi mempromosikan bahasa itu secara lebih meluas di Asia Tengah.

Beliau berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara UPSI, Taskent State University of Oriental Studies (TSUOS) dan Kedutaan Malaysia di Uzbekistan.

“Usaha ini perlu disokong agar dapat memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan budaya yang unggul di Asia Tengah,” katanya pada satu kenyataan di sini, hari ini.

Cadangan itu disampaikan kepada wakil Kedutaan Malaysia di Uzbekistan, Arhan Shah Anuar ketika beliau mengadakan lawatan ke TSUOS pada 2 Mac 2026 yang turut melihat perkembangan Program Bahasa Melayu di universiti berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahasa Asing TSUOS, Dr Nasiba Abduganiyeva berkata, universiti itu kini mempunyai 224 pelajar yang mengikuti Program Bahasa Asing (Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama) yang dibimbing lima tenaga pengajar.

“Ini membuktikan bahasa Melayu kini mampu bersinar di peringkat antarabangsa termasuk di Uzbekistan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, Prof Madya Dr Maizura @ Mastura Muhammad berkata, sejak 2018 UPSI mengambil inisiatif memajukan pengajian Bahasa Melayu di TSUOS melalui kolaborasi strategik dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU).

Katanya, UPSI turut menghantar Prof Madya Dr Anida Sarudin ke TSUOS untuk mengikuti Latihan Sangkutan Akademik selama tiga bulan di universiti berkenaan.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kerjasama itu melibatkan penghantaran tenaga pengajar Bahasa Melayu selain pembangunan pelajar serta pemantapan guru menerusi program mobiliti pelajar dan pensyarah.

“UPSI sentiasa merancang program-program berimpak sebagai usaha dan komitmen yang berterusan dalam meningkatkan pengantarabangsaan bahasa dan budaya Melayu di TSUOS khususnya dan Asia Tengah umumnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top