Uqasha mohon diberi kekuatan, tidak halang Kamal jumpa anak

Uqasha mohon diberi kekuatan, tidak halang Kamal jumpa anak


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Uqasha Senrose, 33, menegaskan pintu hatinya buat masa ini masih tertutup jika dipujuk bekas suaminya, Kamal Adli, 40, untuk kembali rujuk.

Uqasha atau pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata, fokus utamanya kini hanya untuk meneruskan kehidupan bersama anaknya Hawra Uqaira, 19 bulan, dengan tenang.

“Buat masa ini tak ada (buka pintu hati). Saya tak tahu untuk masa hadapan bagaimana, tapi untuk sekarang, saya hanya mahu memandang ke depan sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai perasaannya selepas lafaz cerai dibuat, Uqasha mengakui dia sudah bersedia dari segi mental kerana dirinya yang memfailkan permohonan terbabit.

“Kita pandang ke depan sajalah. Kami pernah menjadi suami isteri dan sekarang sudah jatuh satu talak.

“Benda ini bukan satu kejutan kerana memang saya yang failkan, cuma saya perlu masa untuk hadam apa yang berlaku.

“Akhirnya dia (Kamal) melafazkan juga. Jadi, saya tak ada apa-apa nak kata lagi. Saya cuma doakan agar dia menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab,” kongsinya.

Meskipun hubungan suami isteri sudah berakhir, Uqasha memberi jaminan tidak akan menghalang pertemuan antara Kamal dan anak mereka, Hawra.

“Tiada masalah untuk dia (Kamal) berjumpa Hawra. Saya tak kisah dia menggalas tanggungjawab sebagai bapa.

“Adik-beradik saya pun sangat okey, kalau dia nak jumpa Hawra, mereka sendiri yang bawa pergi jumpa,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Jika Cinta Itu Buta ini sempat menzahirkan penghargaan tidak terhingga buat seluruh ahli keluarganya kerana menjadi ‘tulang belakang’ sepanjang dia berdepan badai rumah tangga.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga saya yang ada bersama dari saat pertama (kemelut bermula) sehinggalah sekarang.

“Mama, papa, adik-beradik, mak cik, pak cik… semua ada di sisi saya. Apa pun terjadi, doakanlah saya supaya dapat meneruskan hidup dengan aman,” katanya.

Beralih kepada status baharu sebagai ibu tunggal, Uqasha dengan tegas menyatakan dia sudah membuktikan kemampuannya dalam menggalas tanggungjawab membesarkan Hawra sendirian.

“Saya sebenarnya serba salah. Cakap salah, tak cakap pun salah.

“Apa yang boleh saya katakan, sepanjang setahun ini saya bekerja dan dalam masa yang sama menjaga anak, serentak. Jadi, bagi saya tiada masalah untuk menggalas peranan itu (ibu tunggal),” katanya.

​Uqasha yang kini memberi fokus sepenuhnya kepada kerjaya dan anak turut memohon orang ramai agar terus mendoakannya diberi kekuatan.

“Cuma saya harap semua dapat doakan saya terus kuat untuk melangkah ke depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top