Urus kesihatan mental ketika bekerja

Urus kesihatan mental ketika bekerja


KESIHATAN mental menjadi isu yang semakin diberi perhatian dalam dunia pekerjaan moden sekarang.

Ini kerana tekanan kerja dan beban tugasan serta ketidakseimbangan antara kehidupan dan kerja sering kali memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mental pekerja.

Persoalannya, bagaimana Islam menangani isu masalah kesihatan mental ini? Apakah ada jalan penyelesaian yang boleh dijadikan panduan?

Pengarah Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Dr Abdul Jalil Hassan menjelaskan, masalah kesihatan mental berkait dengan keimanan dalam diri seseorang umat Islam itu sendiri.

“Iman mempunyai dua komponen iaitu percaya dan yakin. Namun dalam kalangan kita ramai yang percaya tapi tidak ramai yang yakin.

DR ABDUL JALIL

“Sebagai contoh, semua media menyatakan saya seorang penembak tepat dan apabila bertanding saya mendapat pingat emas.

“Bagaimanapun, jika diambil sebiji epal dan diletakkan atas kepala kamu, adakah kamu yakin saya mampu menembak epal tersebut dengan tepat?” soalnya kepada hadirin di Universiti Malaya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangannya bertajuk Aplikasi Keseronokan Bekerja Dalam Menangani Kesihatan Mental sempena Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Pendekatan Dakwah (SMILED) ASEAN 2025 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Beliau menambah, umat Islam percaya ALLAH SWT, malaikat dan sebagainya itu ada, namun tidak yakin bahawa semua perkara dalam kehidupan termasuk bekerja itu adalah ketentuan yang telah ditetapkan-NYA.

Istighfar kunci kesihatan mental

Jelasnya, pekerja yang mempunyai masalah keyakinan ini akan menghadapi masalah mental.

“Ini kerana dia tidak yakin bahawa rezeki dan pangkat adalah pemberian ALLAH SWT dan bukannya majikan.

“Siapa yakin bahawa kenaikan pangkat berada di tangan majikan? Namun ramai yang menyalahkan majikan dengan pelbagai alasan seperti pilih kasih dan sebagainya apabila dia tidak dipilih.

“Kita perlu beristighfar kerana setiap hari kita melakukan syirik kepada ALLAH (disebabkan tidak yakin dengan takdir dan rezeki-NYA),” hurainya lagi.

SMILED ASEAN 2025 dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (tengah) di Auditorium Mohd Asri Muda, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Foto Yadim

SMILED ASEAN 2025 dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar (tengah) di Auditorium Mohd Asri Muda, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Foto Yadim

Oleh sebab itu katanya, kita perlu banyakkan beristighfar dan ia merupakan kunci kepada kesihatan mental namun tidak ramai yang mengamalkannya.

Niat, doa yang baik sebelum dan selepas

Selain itu katanya, sebelum melakukan sesuatu perkara, mulakanlah dengan niat yang baik sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niatkan.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Ujarnya, perjalanan kehidupan dan perjalanan di tempat kerja akan ditentukan melalui niat yang dibuat pada awalnya.

Menyambung hujahnya, beliau berpesan agar berdoalah kepada ALLAH SWT agar ditemukan dengan orang yang baik, majikan yang baik dan perkara yang baik.

“Sebagai contoh, berdoalah: Ya ALLAH, selamatkanlah perjalananku ke tempat kerja dan terimalah pekerjaanku hari ini sebagai ibadah kepada-MU.

“Ramai kadang-kadang membezakan antara ibadah dengan kerja. Oleh sebab itu dia merasa tertekan dengan kerjanya itu,” hurainya lagi.

SEBAHAGIAN hadiran pada SMILED ASEAN 2025 anjuran Yadim di Universiti Malaya baru-baru ini.

SEBAHAGIAN hadiran pada SMILED ASEAN 2025 anjuran Yadim di Universiti Malaya baru-baru ini.

Tambahnya, selepas selesai melakukan sesuatu tugasan atau kerja, kita juga perlu menutupnya dengan doa.

“Ya ALLAH, kami berserah kepada-MU untuk mempermudahkan perjalanan kehidupan kami dan jauhi daripada perkara-perkara yang mengganggu kami dan membelenggu otak kami,” ujarnya.

Lihat dari sudut pandang positif

Dr Abdul Jalil turut menekankan untuk pekerja melihat sesuatu perkara dari sudut pandang positif.

Sebagai contoh mudah katanya, ramai yang merungut hingga maki hamun apabila berhadapan dengan keadaan tersesat jalan untuk ke suatu tempat.

“Namun di sebalik itu, cuba kita pandang dari sudut positif dan bertanya kepada diri sendiri, apa agaknya ALLAH nak tunjukkan kepada aku hari ini?

“Begitu juga dengan hujan. Apabila hujan kita merasakan hujan ini menyusahkan dan membuatkan jalan raya sesak, lebih-lebih lagi ketika mahu balik ke rumah dari tempat kerja.

“Tanpa kita sedar tumbuh-tumbuhan dan haiwan sangat memerlukan hujan itu. Pada ketika itu, kita telah kecewa dengan ketetapan ALLAH,” katanya.

Oleh sebab itu, pekerja Islam sepatutnya mengamalkan istighfar setiap hari, berniat dan mendoakan perkara-perkara yang baik sebelum serta selepas selesai melakukan kerja selain melihat sesuatu perkara dalam sudut pandang yang positif.



Source link

OR

Scroll to Top