KUALA LUMPUR:Tenaga Nasional Berhad (TNB), selaku peneraju tenaga negara, terus memperkukuh komitmen terhadap kelestarian dan inovasi digital.
Sejajar dengan usaha tersebut, TNB menggalakkan para pelanggan untuk beralih daripada penggunaan bil bercetak kepada bil digital (e-bil) yang boleh diakses dengan mudah melalui aplikasi dan portal myTNB.
Inisiatif ini bertepatan dengan perkembangan celik teknologi dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya mereka yang mementingkan keselamatan dan kebolehpercayaan dalam penggunaan teknologi digital.
E-bil bukan sekadar satu alternatif, malah merupakan penyelesaian pintar yang menawarkan pelbagai manfaat seperti kemudahan, keselamatan dan kelebihan dari segi penjagaan alam sekitar. Dengan penggunaan e-bil melalui aplikasi myTNB, pelanggan TNB boleh menyemak bil tanpa kehilangan bil fizikal atau kelewatan menerima bil, memantau penggunaan bekalan elektrik dan membuat pembayaran dengan lebih mudah serta selamat menerusi platform digital yang dilengkapi ciri keselamatan terkini.
Aplikasi TNB ini juga direka dengan antara muka yang mesra pengguna, menjadikannya mudah digunakan oleh semua peringkat usia.
Di samping itu, bagi setiap pengguna yang memilih untuk beralih kepada e-bil, dianggarkan sebanyak empat pokok dapat diselamatkan setiap tahun, menjadikan inisiatif ini sebagai satu langkah nyata ke arah pemeliharaan alam sekitar.
Namun, TNB menyedari bahawa terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaan inisiatif ini.
Antara halangan yang dikenal pasti termasuklah kebergantungan kepada bil bercetak, keraguan terhadap ketulenan notifikasi digital, keengganan memuat turun aplikasi tambahan serta kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi.
Sehubungan itu, TNB giat melaksanakan pelbagai usaha pendidikan dan penyampaian maklumat bagi meningkatkan kefahaman pelanggan serta memberikan keyakinan bahawa platform myTNB adalah selamat, boleh dipercayai, dan mematuhi sepenuhnya kehendak Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
Penggunaan e-bil kini dilihat sebagai langkah bijak yang bukan sahaja memudahkan urusan harian, malah membantu mengurangkan jejak karbon serta menyokong usaha melestarikan alam sekitar demi generasi akan datang.
Untuk maklumat lanjut serta panduan menukar kepada e-bil, layari www.mytnb.com.my atau muat turun aplikasi myTNB hari ini!
© New Straits Times Press (M) Bhd