razis@mediaprima.com.my
MINAT mendalam terhadap seni urutan tradisional Melayu mendorong wanita ini menceburi bidang itu sejak 16 tahun lalu.
Rosmawati Ishak, 40, aktif menjadi jurulatih dan tenaga pengajar untuk melahirkan lebih ramai juruterapi wanita dalam kalangan golongan muda di negara ini bagi meraih pendapatan dan kerjaya dalam bidang urutan.
Dalam bidang urutan, Rosmawati turut menempa beberapa kejayaan besar termasuk menerima Anugerah Spa Cemerlang pada 2019 dan Anugerah Khas Master Coach pada Oktober lalu.
Bukan setakat itu, dalam usaha memartabatkan seni urutan tradisional Melayu ke peringkat dunia, ibu tiga anak ini menggunakan simpanan untuk menyertai pertandingan European Massage Championship di Rom, Itali pada Mei lalu.
Pengorbanan anak jati Johor ini berbaloi apabila meraih tempat keempat daripada 175 peserta daripada seluruh dunia.
Rosmawati yang juga Pengasas SpaQRose dan QRose Akademi berkata, sebelum terbabit bidang urutan, dia pernah menceburi pelbagai perniagaan, namun mengalami kegagalan.
“Saya bermula dengan menyediakan perkhidmatan urutan dari rumah ke rumah dengan bayaran RM30 sejam.
“Siapa sangka, apabila sambutan semakin menggalakkan, saya membuka Spa QRose dibuka pada 2016 yang masih beroperasi sehingga kini.
“Selain itu, saya turut menubuhkan QRose Akademi untuk melahirkan lebih ramai juruterapi. Kini saya memiliki lebih 4,000 pelajar,” katanya.
Berkongsi pengalaman menyertai pertandingan di Itali, pada mulanya dia meminta bantuan beberapa syarikat dan pihak berkaitan menaja perjalanannya.
Katanya, bagaimanapun tidak ramai pihak yakin dan percaya dengan kelebihan seni urutan tradisional Melayu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Biarpun ditolak, saya dan suami enggan mengalah meneruskan tekad ke luar negara secara ‘DIY’ dengan menggunakan simpanan sendiri dan mendapat sumbangan daripada beberapa pelajar.
“Apabila sampai di sana, kami berazam buat terbaik selain mengambil peluang belajar kemahiran baharu dalam bidang urutan.
“Alhamdulillah saya bersyukur, kami berjaya mengharumkan nama negara dan tanpa disangka memenangi tempat keempat, sekali gus membuktikan urutan Melayu memiliki kehebatan tersendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Rosmawati mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan South East Asia Massage Championship (Kejohanan Urut) Asia Tenggara 2025 pada Januari depan.
“Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah bagi memperkenalkan urutan tradisional Melayu dalam kalangan juri selain peserta kejohanan dari luar negara.
“Kejohanan bakal dianjurkan menjadi peluang kepada tukang urut tempatan mengenali peluang dalam bidang berkenaan di peringkat antarabangsa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd