Usah anggap stiker lucah gurauan biasa – Polis

Usah anggap stiker lucah gurauan biasa – Polis


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Stiker lucah dalam aplikasi media sosial sering digunakan ‘pemangsa’ hingga mendorong kepada jenayah seksual seperti rogol dan amang seksual, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan.

Menurutnya, ia juga didapati menjadi sebahagian antun seksual, yang mana stiker dijadikan gurauan pada peringkat awal untuk memancing reaksi daripada mangsa.

Katanya, pemangsa seksual akan cuba mencipta hubungan mesra dengan mangsa bagi membina kepercayaan sebelum menunjukkan ‘belang’ sebenar.

“Perlahan-lahan membina kepercayaan, contohnya memberi pujian, menjanjikan hadiah atau sekadar kata-kata manis.

“Kemudian, mereka (suspek) akan meminta gambar, video atau mengajak perbualan seksual. Semuanya dilakukan dalam ruang digital yang kelihatan peribadi seperti WhatsApp,” katanya hari ini.

Menurutnya, pemangsa seksual gemar menyasarkan golongan kanak-kanak kerana tahap kematangan kumpulan itu yang terbatas dan mudah dimanipulasi, malah kanak-kanak sukar membezakan antara salah dan betul dan tidak tiada kemampuan untuk melihat kesan tindakan mereka pada jangka masa panjang.

Sehubungan itu, Kamsiah menyarankan ibu bapa supaya sentiasa memantau penggunaan media sosial anak-anak mereka.

“Pantau aplikasi dan kenali siapa rakan digital anak dan usah anggap stiker lucah sebagai lawak biasa kerana ini pintu masuk kepada jenayah seksual.

“Jangan leka dengan persekitaran digital anak-anak kerana zaman ini jenayah berlaku tanpa sentuhan fizikal. Sticker lucah yang nampak ringan itu boleh jadi permulaan kepada penderaan seksual,” katanya.

Menurutnya, penggunaan stiker lucah boleh disabitkan kesalahan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Katanya, tindakan boleh diambil sekiranya seseorang itu membuat hantaran sama ada dalam bentuk teks, imej pegun, video atau stiker berunsur lucah walaupun tidak dibalas oleh mangsa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top