Usah gentar, fokus aksi atas padang

Usah gentar, fokus aksi atas padang


SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara enggan terlalu memikirkan isu di luar padang termasuk tekanan penyokong apabila menyertai Piala ASEAN 2025 di Jakarta, Indonesia minggu depan.

Sebaliknya skuad Harimau Muda hanya mahu memberi fokus kepada persediaan dan memberikan yang terbaik untuk melakar keputusan positif buat pasukan.

Justeru pemain tengah, Aysar Hadi Mohd Shafri menggesa rakan sepasukan agar tidak gentar untuk berdepan mana-mana lawan termasuk pasukan tuan rumah yang mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri.

“Saya tidak terlalu melihat kepada pasukan lain, tetapi fokus dengan diri kita dan pasukan. Berikan yang terbaik untuk tanah air kita.

“Saya harapkan gemuruh yang akan datang dapat diatasi dengan baik. Kami tahu tentang tekanan yang akan diberikan oleh pasukan di sana, jadi Insya-ALLAH kami sudah bersedia,” katanya.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain itu diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Indonesia, Filipina dan Brunei dalam saingan di Jakarta dari 15 hingga 29 Julai ini.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti perlawanan menentang Brunei pada 18 Julai sebelum melengkapkan aksi kumpulan berdepan Indonesia pada 21 Julai.

Aysar turut menyifatkan persiapan berjalan dengan sangat rapi, walaupun masa yang diberikan agak singkat.

“Bagi saya, persiapan daripada segi corak permainan yang diterapkan oleh jurulatih adalah amat mustahak untuk kami terapkan ketika beraksi nanti.

“Bermain dengan hantaran pendek dan jangan mudah kehilangan bola,” katanya.

Di sebalik corak permainan yang diterapkan, skuad muda negara juga bakal berdepan cabaran mengekalkan penguasaan bola di bawah tekanan berintensiti tinggi.

Pemain yang mewakili Johor Darul Ta’zim II (JDT II) sedar dengan cabaran itu dan enggan memandang mudah saingan pasukan lawan.

“Para pemain yang dipanggil menyertai skuad ini adalah pemain yang berkualiti. Jadi, ia memudahkan proses untuk kami beradaptasi dengan formasi dan cara bermain jurulatih.

“Kami sudah bersedia dan berharap dapat melakukan yang terbaik di Jakarta nanti, Insya-ALLAH,” ujar Aysar.

Kesemua perlawanan dijadual berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir yang dijadual pada 25 Julai, manakala perlawanan penentuan tempat ketiga serta final akan berlangsung pada 29 Julai.



Source link

OR

Scroll to Top